Muhammad Suffi menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Manir. FOTO ihsan APMM
Muhammad Suffi menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Manir. FOTO ihsan APMM
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seramai 76 pegawai dan anggota barisan hadapan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menerima suntikan fasa pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech bermula hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi pegawai dan anggota APMM akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka selesai menjelang hujung tahun ini.

"Secara keseluruhannya, terdapat seramai 114 petugas barisan hadapan di Terengganu dengan 76 pegawai dan anggota daripadanya menjadi penerima suntikan fasa pertama.

"Hari ini, 76 orang ini termasuk saya sendiri menerima dos pertama vaksin dan dos kedua dijangka diterima pada 30 Mac depan manakala baki 38 lagi pegawai, anggota akan disuntik dalam fasa kedua.

"APMM Terengganu menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus pegawai dan anggota mendapat suntikan vaksin imunisasi ini," katanya ketika program suntikan vaksinasi di Klinik Kesihatan Manir di sini hari ini.

Untuk rekod, terdapat seramai 260 penjawatan di APMM Terengganu namun keutamaan penerima suntikan awal diberikan kepada petugas barisan hadapan iaitu mereka yang berada di laut dan mereka yang ada kontak rapat dengan nelayan asing terutama di bahagian keselamatan dan siasatan.

Terengganu mendapat 16,330 dos vaksin bagi fasa pertama pada 25 Februari lalu dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjadi individu pertama di Terengganu menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 4:03 PM