Mohd Amin Jalil

Seremban: Penghantaran vaksin Covid-19 untuk pelaksanaan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat Negeri Sembilan ke lokasi pertama di Klinik Kesihatan Seremban 2 di sini dikawal ketat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kenderaan syarikat lojistik DHL yang membawa vaksin itu dari gudang tempat penyimpanan di Subang, Selangor, diiringi tujuh kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiba ke kawasan pintu masuk klinik terbabit pada jam 11.23 pagi tadi.

Konvoi kenderaan lojistik DHL itu bersama kereta peronda PDRM kemudian membawa sebahagian vaksin itu ke lokasi kedua di Hospital Tampin pada jam 11.43 pagi.

Klinik Kesihatan Seremban 2 dan Hospital Tampin adalah dua tempat simpanan bekalan vaksin di Negeri Sembilan.

Pergerakan kenderaan membawa vaksin itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Sekumpulan pengamal media menunggu di lokasi sejak jam 9 pagi di hadapan klinik kesihatan berkenaan bagi membawa perkembangan terkini pergerakan dan penerimaan vaksin berkenaan.

Bagaimanapun, jumlah sebenar vaksin ditempatkan di negeri ini masih belum diketahui termasuk jumlah individu yang bakal menerima vaksin pada fasa pertama ini.

Konvoi kenderaan membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech dari Subang, Selangor tiba ke pusat penyimpanan vaksin di Klinik Kesihatan Seremban 2. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Konvoi kenderaan membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech dari Subang, Selangor tiba ke pusat penyimpanan vaksin di Klinik Kesihatan Seremban 2. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Dalam laporan media sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, Malaysia akan menerima 182,520 dos tambahan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech untuk edaran ke negeri yang belum menerima bekalan.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, vaksin itu akan diedarkan ke Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak hari ini manakala Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, pada Khamis.

Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menjelaskan bahawa petugas barisan hadapan dari pelbagai jabatan dan agensi di Negeri Sembilan akan menjadi kumpulan pertama yang akan menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis

Pfizer-BioNTech.

Beliau berkata, bagaimanapun jumlah keseluruhan petugas terbabit yang akan menerima suntikan berkenaan belum ditentukan lagi.

"Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk memberi laluan kepada petugas barisan hadapan sebagai kumpulan pertama yang menerima vaksin Covid-19. Perkara itu akan diselaraskan.

"Saya juga bersedia untuk menerima suntikan dalam kumpulan pertama, bagaimanapun keadaan itu belum ditentukan lagi namun, saya sudah mendaftarkan diri untuk menerima suntikan vaksin berkenaan," katanya, pada satu majlis di Seremban, petang semalam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 1:37 PM