Mohamed Farid Noh

Kota Tinggi: Kira-kira 12,000 guru taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan menjadi penerima awal vaksin Covid-19, menjelang pembukaannya pada 1 Mac ini.

Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, langkah itu adalah penting bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 terhadap 200,000 murid di tabika dan taska Kemas.

"Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membawa isu ini (guru Kemas turut menerima vaksin dalam fasa 1 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) kepada Kabinet untuk diputuskan segera.

"Kementerian berpandangan isu ini juga perlu menjadi keutamaan kerana ia membabitkan sebanyak 7,000 kelas dan 200,000 kanak-kanak di tabika dan taska Kemas di seluruh negara.

"Guru Kemas juga adalah barisan hadapan kerana mendidik dan mengajar kanak-kanak seawal usia empat hingga enam tahun dan mereka juga perlu diutamakan," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA

Beliau berkata demikian selepas majlis pra pelancaran sambutan Jubli Emas Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Bangunan Kejora, Bandar Penawar di sini, hari ini.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dilaporkan akan memastikan kira-kira 55,000 guru menerima suntikan vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka 1 Mac ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah menyerahkan senarai guru berkenaan kepada JKJAV.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, sempena menyambut Semarak 50 Tahun Jubli Emas Kejora, agensi pembangunan wilayah berkenaan diharap melaksanakan program khas bermakna supaya kejayaan agensi itu disebar luas dan diketahui umum.

"Banyak kejayaan yang dicapai Kejora sepanjang 49 tahun penubuhannya dalam membangunkan kawasan dan penduduk di kawasan Tenggara Johor supaya pembangunannya setara dengan kawasan yang membangun," katanya.

ABDUL Rahman (kanan) melancarkan Logo Sambutan Jubli Emas KEJORA bersama Pengerusi KEJORA, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh dan Pengurus Besar KEJORA, A Jalil Md Arshad pada Majlis Pra Pelancaran Sambutan Jubli Emas KEJORA di Bandar Penawar, Kota Tinggi. FOTO Zain Ahmed
ABDUL Rahman (kanan) melancarkan Logo Sambutan Jubli Emas KEJORA bersama Pengerusi KEJORA, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh dan Pengurus Besar KEJORA, A Jalil Md Arshad pada Majlis Pra Pelancaran Sambutan Jubli Emas KEJORA di Bandar Penawar, Kota Tinggi. FOTO Zain Ahmed

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 1:40 PM