Mohamed Farid Noh

Kota Tinggi: Bantuan akan diberikan kepada penduduk luar bandar yang mengusahakan ternakan ayam dan tanaman makanan ternakan agar ia dapat diperluaskan bagi mengatasi isu kekurangan bekalan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah itu juga selaras pengumuman kerajaan untuk memperkasakan sekuriti makanan negara menerusi pelan jangka pendek yang diputuskan Kabinet bulan lalu.

"Bagi penduduk kampung yang ada mengusahakan ternakan ayam khususnya, serta tanaman makanan ternakan, kita bersetuju untuk bantu perluaskan perusahaan mereka itu menerusi skim galakan bersesuaian.

"Itu (perusahaan penduduk kampung) adalah pelan jangka pendek bagi memastikan kekurangan bekalan makanan khususnya ayam segar dapat ditangani.

"Begitu juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) iaitu Felcra, Risda, Kesedar, Keda dan Ketengah yang ada perusahaan begini, sudah diminta menggandakan jumlah perusahaan mereka," katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Penubuhan Kejora 1972-2022 di Tanjung Balau, di sini, hari ini.

Mahdzir berkata, kerajaan menyediakan dana RM500 juta di bawah Skim Agro Food Facilities yang boleh digunakan bagi memperkasakan lagi perusahaan penduduk kampung dan juga agensi KPLB itu.

"Kita akan bantu dan sokong kerajaan bagi memastikan pelan jangka pendek sekuriti makanan negara dapat direalisasikan," katanya.

MAHDZIR (tengah) bergambar bersama Buku Coffee Table KEJORA pada Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun Penubuhan yang Ke-50 Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) di Dataran Tanjung Balau, Bandar Penawar,  Kota Tinggi. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MAHDZIR (tengah) bergambar bersama Buku Coffee Table KEJORA pada Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun Penubuhan yang Ke-50 Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) di Dataran Tanjung Balau, Bandar Penawar, Kota Tinggi. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 4:10 PM