Nazdy Harun

Kuala Nerus: Sebanyak RM9 juta diperuntukkan tahun ini bagi kerja baik pulih Tabika Kemas terutama yang terjejas akibat bencana banjir.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Ramlan Harun berkata, sebanyak 400 Tabika Kemas di seluruh negara terbabit dalam proses baik pulih.

Menurutnya, tabika yang teruk terjejas akibat banjir antaranya di negeri Pahang, Selangor dan Terengganu.

"Selain banjir, bangunan berkenaan perlu dibaiki berikutan keadaan usia selain berlaku kerosakan.

"Tahun ini 73 tabika baharu dibina di seluruh negara selari dengan pertambahan penduduk di sesebuah kawasan.

"Semua tabika itu dipohon melalui daerah dan negeri sebelum diluluskan di peringkat pusat dan bagi negeri Terengganu tahun ini memperoleh 10 tabika baru," katanya ketika ditemui selepas Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Negeri Terengganu, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ramlan berkata bermula tahun depan setiap Tabika Kemas akan dibekalkan komputer riba, televisyen pintar dan jaringan jalur lebar.

"Ia selari dengan pendigitalan pendidikan yang ditawarkan oleh Kemas selain guru-guru juga sentiasa dihantar untuk mengikuti kursus bagi memantapkan tahap pengajaran.

"Pendigitalan yang dilakukan dilihat mampu bersaing dengan tabika swasta yang menawarkan pelbagai kaedah pembelajaran," katanya.

RAMLAN (tengah) ketika sidang media sempena Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Negeri Terengganu di Padang Ragbi UniSZA Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
RAMLAN (tengah) ketika sidang media sempena Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Negeri Terengganu di Padang Ragbi UniSZA Gong Badak. FOTO Ghazali Kori

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Kemas Ahmad Kamal Idris Ahmad Nawawi dan Pengarah Kemas Terengganu Dr Faridah Mat.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Ramlan Harun dan Pengarah Kemas Terengganu Dr Faridah Mat.

Sementara itu Ketua Pengarah Kemas Malaysia, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata Kemas mengguna pakai silibus berdasarkan Kurikulum Standard Pra Sekolah (KSPK) yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, beberapa modul baru diperkenalkan dan Kemas sentiasa mengambil kira tahap penerimaan dan keberkesanannya.

"Bagi mencapai tahap pendidikan setaraf kualiti antarabangsa pelbagai usaha dilaksanakan oleh kerajaan dengan mengkaji sistem yang diguna pakai oleh negara luar bagi memastikan pendidikan informal Tabika dan Taska Kemas terus mencapai tahap kualiti yang terbaik dari semua aspek.

"Kemas turut memberi penekanan kepada kemahiran abad ke-21 melalui pelbagai aktiviti untuk mereka. Pembabitan ibu bapa dalam pendidikan awal kanak-kanak adalah sangat penting. Ibu bapa adalah individu yang menyediakan keperluan asas, penjagaan dan kasih sayang, memberi sokongan, panduan, tunjuk ajar, bimbingan dan perlindungan kepada kanak-kanak.

"Pembabitan ibu bapa bersama anak akan memudahkan ibu bapa dalam memahami konsep sebenar Pengajaran dan Pemudah caraan (PdPc) di tabika selain membantu membimbing dan mendidik anak-anak dalam pembelajaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 7:13 PM