Mohamad Fahd Rahmat


SEBANYAK RM70,000 diluluskan kerajaan negeri bagi melaksanakan kerja baik pulih benteng pecah yang menyebabkan banjir di Kampung Sungai Kluang Rengit, Batu Pahat, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, benteng pecah itu menyebabkan 121 hektar kawasan dilanda banjir termasuk 10 rumah, ladang kelapa sawit dan tanaman kontan lain selain menjejaskan tujuh keluarga.

Katanya,bagaimanapun kerja baik pulih berkenaan hanya tindakan segera bagi mengelakkan banjir akibat air pasang di lokasi berkenaan berterusan.

"Benteng Pantai (Luar) pecah antara Kampung Jambi ke Rengit, Ahad lalu dan terdapat enam lokasi di sepanjang jajaran benteng luar sepanjang tiga kilometer (KM) dengan anggaran kelebaran hingga lima meter bagi setiap lokasi.

"Bagi penyelesaian jangka panjang pihak Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) memohon peruntukan kerajaan persekutuan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 untuk membaik pulih benteng pantai di Batu Pahat.

"Anggaran kawasan benteng yang menghadapi masalah adalah sepanjang 30 KM keseluruhan panjang benteng iaitu 60 KM membabitkan RM 150 juta. Bagaimanapun kos ini adalah bagi pembaikan benteng dalam sahaja, tidak termasuk kerja benteng luar kerana berada diluar skop kerja penyelenggaraan JPS," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kerosakan benteng dalam akan memberi kesan dan implikasi yang lebih besar berbanding benteng luar kerana kawasan yang dilindungi oleh benteng dalam adalah jauh lebih luas dan meliputi pelbagai kawasan.

Berita berkaitan:

Air naik selepas benteng runtuh

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 7:30 PM