FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Penerimaan rakyat Sabah terhadap usaha kerajaan membanteras pandemik Covid-19 menerusi program vaksinasi setakat ini amat baik dan memberangsangkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, setakat ini, pihaknya ini belum menerima sebarang laporan pembantahan vaksinasi.

"Berkenaan gerakan anti-vaksin Covid-19 di Sabah, buat masa ini belum ada laporan terdapatnya aktiviti pembantahan vaksinasi kerana program ini bersifat sukarela.

"Rakyat Sabah pada amnya menerima baik usaha kerajaan untuk membendung pandemik Covid-19 melalui program vaksinasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara dalam talian mengenai perkembangan harian Covid-19 di Sabah, hari ini.

Masidi berkata, satu pasukan khas ditubuhkan kerajaan negeri bagi memastikan rakyat Sabah menerima vaksin dalam tempoh ditetapkan.

Beliau berkata, bagi menyelaraskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di peringkat Negeri Sabah, kerajaan negeri menubuhkan Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) peringkat negeri Sabah yang diselaraskan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah.

"Selain itu, pasukan CITF di peringkat daerah diaktifkan yang diselaraskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Pejabat Kesihatan Daerah.

"Pasukan CITF ini diwujudkan bagi memastikan seramai mungkin penduduk Sabah menerima vaksin Covid-19 dalam tempoh ditetapkan melalui fasa satu, fasa dua dan fasa tiga.

"Mengenai gerak kerja, persediaan sedang dilaksanakan antaranya membabitkan pengurusan logistik, persediaan Pusat Pemberian Vaksin di setiap daerah, pengurusan tindakan perubatan, pengurusan sukarelawan dan komunikasi strategik bagi kempen menjayakan vaksinisasi Covid-19," katanya.

Masidi berkata, fasa satu membabitkan petugas barisan hadapan, fasa kedua untuk kumpulan berisiko tinggi atau berpenyakit kronik serta warga emas berumur 65 tahun ke atas dan orang kelainan upaya (OKU).

Beliau berkata, fasa terakhir adalah vaksin diberikan kepada orang awam berusia 18 tahun dan ke atas tanpa komorbiditi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 8:58 PM