KAKITANGAN perubatan menjalankan kit ujian pantas (RTK) Antigen pada sampel yang diambil dari orang ramai yang menjalani ujian saringan Covid-19 di Stadium Negeri Pulau Pinang Batu Kawan, Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
KAKITANGAN perubatan menjalankan kit ujian pantas (RTK) Antigen pada sampel yang diambil dari orang ramai yang menjalani ujian saringan Covid-19 di Stadium Negeri Pulau Pinang Batu Kawan, Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di Sabah yang mencatat jumlah tertinggi sebanyak 712 kes semalam dipercayai disebabkan sikap masyarakat yang semakin leka berikutan status negeri ini yang berada dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Jurucakap perkembangan Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kes yang tinggi itu menggambarkan masih ramai tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih dikuatkuasakan.

Katanya, orang ramai mungkin lupa SOP PKP yang menetapkan bahawa orang ramai perlu sentiasa berada di rumah dan mengurangkan pergerakan kerana beranggapan keadaan semakin pulih berdasarkan status semasa Sabah dalam fasa kedua PPN.

"Kini kita berada dalam fasa pemulihan, ada kemungkinan masyarakat leka daripada mematuhi PKP kerana mempunyai persepsi bahawa kita dalam status pemulihan.

"Jumlah yang tinggi dalam kalangan kategori kontak rapat juga satu petunjuk lebih ramai menjadi pembawa virus dan kemungkinan sudah menjangkiti sahabat mereka. Ini akan mengakibatkan jumlah jangkitan berganda.

"Sehubungan itu, masyarakat perlu mematuhi semua SOP dan mengurangkan sebarang perjalanan keluar daripada rumah kecuali jika benar-benar perlu," katanya dalam kenyataan, di sini.

Semalam, Sabah merekodkan 712 kes baharu Covid-19, iaitu yang tertinggi sejak Januari lalu dengan lapan kematian dan dua kluster baharu iaitu Kluster Jalan Mat Salleh yang membabitkan premis jabatan kerajaan persekutuan di Kota Kinabalu dan Kluster Nosoob Baru berkaitan jangkitan dalam komuniti di Penampang.

Masidi berkata, jumlah kes semalam menunjukkan peningkatan sebanyak 196 kes berbanding 516 kes kelmarin disebabkan penemuan kes baharu di semua daerah di Sabah.

Katanya, penyumbang utama kes semalam ialah melalui saringan kontak rapat iaitu sebanyak 383 kes atau 53.8 peratus daripada kumulatif kes harian Sabah, diikuti 112 kes saringan kluster sedia ada (15.7 peratus) dan 88 kes saringan bersasar (12.4 peratus).

"Sejumlah 79.3 peratus daripada kes positif adalah dalam kategori satu dan dua, masing-masing 206 kes dalam kategori satu, iaitu mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan 358 kes dalam kategori dua iaitu mengalami simptom ringan," katanya.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, Kota Kinabalu kekal sebagai daerah paling banyak merekodkan kes baharu semalam iaitu sebanyak 161 kes diikuti Sandakan (98), Beaufort (72), Penampang (65) dan Tawau (33).

Sehingga semalam sebanyak 19 daerah di Sabah berada dalam zon merah, diikuti lima daerah dalam zon jingga dan tiga daerah dalam zon kuning, manakala tiada daerah dalam zon hijau.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 12:50 PM