GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kerajaan negeri bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal dihadapi untuk penyimpanan dan penghantaran vaksin di kawasan pedalaman.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata pihaknya menerusi Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri Sabah menjangkakan tiada sebarang masalah mengenai perkara terbabit.

"Buat masa ini tiada sebarang masalah daripada segi penyimpanan dan penghantaran vaksin dalam fasa satu yang dijadualkan bulan ini dan April depan.

"CITF daerah ditubuhkan untuk memperincikan pelaksanaan Program Vaksinasi Covid-19 dengan kerjasama agensi lain untuk menyelesaikan masalah yang mungkin dihadapi dalam memberi liputan vaksinasi.

"Ini khususnya kawasan pedalaman yang mungkin mempunyai gangguan akses jalan raya dan juga bekalan elektrik," katanya dalam satu sidang media secara dalam talian di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau ketika ditanya pemberita mengenai alternatif kerajaan negeri berhubung penyimpanan vaksin, Masidi menjelaskan pembahagian vaksin boleh dilakukan mengikut keperluan penyimpanan vaksin.

"Ini termasuk sama ada memerlukan peti penyimpanan Ultra Low Temperature Freezer (ULTF) atau tidak, yang mana kawasan yang berpotensi mengalami gangguan bekalan elektrik akan dibekalkan jenis vaksin yang boleh disimpan menggunakan peti sejuk biasa yang sedia ada.

"Bagi kawasan pedalaman yang tidak mempunyai akses jalan raya, kita boleh menggunakan alternatif pengangkutan lain seperti helikopter.

"Untuk fasa satu, Sabah akan menggunakan vaksin daripada Pfizer BioNTech namun vaksin yang akan digunakan untuk fasa dua dan fasa tiga belum ditetapkan lagi," katanya.

Sementara itu, beliau juga berkata kajian terkini menganggarkan imuniti berkelompok (herd immunity) akan tercapai

apabila 70 sehingga 90 peratus rakyat Sabah mencapai imuniti melalui suntikan vaksinasi.

"Mengikut jadual suntikan imunisasi Covid- 19 dijangka berakhir pada Februari 2022 dan diharapkan liputan imunisasi Covid-19 mencapai lebih 95 peratus.

"Namun diingatkan, pencapaian imuniti berkelompok adalah bergantung kepada pelbagai faktor, seperti mutasi virus, kesediaan masyarakat menerima vaksin dan kepatuhan masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP) ketika pandemik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 9:43 PM