Petugas kesihatan memasukkan cecair vaksin COVID-19. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Petugas kesihatan memasukkan cecair vaksin COVID-19. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri bakal memulakan pemberian vaksin untuk golongan pekerja sektor perkhidmatan perlu kategori ekonomi di Sabah bermula bulan depan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini menjelaskan golongan pekerja dalam kategori berkenaan membabitkan golongan pekerja seperti pekerja kilang, peruncitan, pengangkutan dan perkhidmatan perlu kategori ekonomi yang lain.

Dalam pada itu, Masidi yang juga merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah juga berkata, usaha sedang diambil bagi meningkatkan pendaftaran penerima vaksin dengan mengadakan Program Jangkau Luar (outreach) membabitkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.

"Begitu juga dengan Program Imunisasi Covid-19 Sabah yang kini berada dalam fasa kedua dengan usaha sedang diambil untuk mempertingkatkan lagi pemberian vaksin.

"Selain itu, lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mula beroperasi dalam bulan ini serta klinik swasta juga dibenarkan untuk memberi vaksin," katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan media terbabit, Masidi turut mengulas pihaknya menyedari situasi yang dihadapi majoriti sektor ekonomi yang terjejas dan mengambil langkah awal menyediakan Tatacara Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Umum ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sabah bagi mengelakkan kekeliruan.

"Kerajaan negeri mengambil langkah awal menyediakan tatacara terbabit yang menjelaskan kebenaran operasi bagi perkhidmatan perlu dan barangan perlu sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

"Kebenaran operasi bagi perkhidmatan perlu dan barangan perlu adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (Covid-19) bertanggungjawab menyediakan prosedur operasi standard (SOP) khas untuk Sabah sebelum diwartakan.

"Selain itu, pihak kita selepas bermesyuarat pada 2 Jun lalu sudah menetapkan bahawa tiada keperluan untuk mendapatkan surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk rentas daerah bagi pekerja perkhidmatan perlu dan barangan perlu di Sabah," katanya.

Masidi juga turut menjelaskan pekerja perkhidmatan perlu dan barangan hanya kena mendapatkan surat majikan dan surat kebenaran rentas daerah daripada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 4:52 PM