Zatul Iffah Zolkiply


Setiu: Lebih 100 pelajar di Kampung Payong, di sini, menjadikan sebuah bangsal usang dalam kebun kelapa sawit dan tempat rehat lokasi perkelahan untuk menimba ilmu bagi mendapatkan capaian internet lebih baik.

Ini berikutan capaian internet agak lemah di kampung itu membuatkan mereka menjadikan kawasan berkenaan untuk mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Selain, masalah internet yang tidak berkesudahan, keadaan tidak selesa serta berdepan ancaman haiwan berbisa juga menyebabkan mereka adakalanya berputus-asa.

Malah, ada antara mereka terpaksa belajar di situ sehingga 11 malam sambil ditemani ibu bapa masing-masing.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Setiu, Muhammad Fakrul Fattah Abdul Gani, 16, berkata dia bersama pelajar lain terpaksa mengikuti PdPR di kawasan itu berikutan capaian internet yang lemah di rumah.

"Walaupun keadaan di sini tidak selesa dan liputan internet juga tidak stabil, kami tiada pilihan kerana tidak mahu ketinggalan kelas," katanya.

Penuntut institusi pengajian tinggi, Nurul Aliana Mat Arif, 21, berkata dia sering ketinggalan apabila terkeluar daripada kelas ketika mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

"Apabila mengikuti kelas, kami tiba-tiba terkeluar dengan sendiri dari kelas online dan memakan masa untuk masuk kembali kerana liputan internet tidak stabil.

SEBAHAGIAN pelajar yang terpaksa menjadikan sebuah bangsal usang di dalam kebun sawit dan tempat rehat kawasan perkelahan untuk mengikuti kelas PdPR. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
SEBAHAGIAN pelajar yang terpaksa menjadikan sebuah bangsal usang di dalam kebun sawit dan tempat rehat kawasan perkelahan untuk mengikuti kelas PdPR. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

"Boleh dikatakan ia memang kerap berlaku dalam setiap kelas dan sedikit sebanyak memang mengganggu fokus pembelajaran," katanya.

Bagi Rosliza Salleh, 43, berkata, dia terpaksa menemani dua anaknya berusia 12 dan 13 tahun keluar bagi menyelesaikan kerja sekolah kerana bimbang dengan keselamatan mereka.

"Tiada kemudahan internet di rumah, jadi mahu atau tidak terpaksa juga ke sini dan adakalanya kami turut berada di sini pada waktu malam.

"Kita berada pada zaman moden, namun kampung kami masih dibelenggu masalah (capaian internet) seperti ini dan berharap masalah ini dapat diselesaikan segera," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Payong, Mohd Abdul Jalal Ibrahim berharap masalah yang berlarutan sejak tiga tahun itu dapat diselesaikan segera.

"Masalah ini sudah lama dan apabila PdPR dilaksanakan, ia lebih merumitkan. Jadi kita harap ada penyelesaian terbaik untuk pendidikan anak-anak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 2:15 PM