Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Terpaksa merayau-rayau dan menggunakan lebih daripada satu telefon pintar antara usaha pelajar yang menetap di Pulau Aman, di sini, bagi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang bermula sejak Rabu lalu.

Ia berikutan masalah capaian Internet kurang baik selain kerap terputus hingga memberi kesukaran kepada pelajar di pulau terbabit untuk belajar secara dalam talian.

Pelajar Tingkatan Empat Nur Alea Soffiyah Ahmad Hanif, 16, berkata dia terpaksa membuka 'hotspot' pada telefon bapanya dan disambungkan kepada telefon pintarnya bagi mendapatkan capaian Internet lebih baik bagi mengelak terlepas kelas 'Google Meet'.

"Disebabkan perlu belajar dalam talian ekoran pandemik Covid-19 yang belum berakhir, saya berusaha sebaik mungkin untuk mengikuti kelas 'Google Meet' apabila membeli data Internet tanpa had.

"Namun, saya sering berdepan masalah untuk mendapatkan capaian Internet yang baik, malah kerap berlaku gangguan sehingga terpaksa meninggalkan kelas dengan lebih awal.

"Masalah ini juga menyebabkan saya penat apabila terpaksa merayau-rayau sehingga ke hujung kawasan pulau ini untuk mencari capaian Internet," katanya.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, dia memahami 80 peratus ilmu yang diajar gurunya secara dalam talian, namun berharap Covid-19 dapat berakhir secepat mungkin.

Katanya, kaedah pembelajaran bersemuka adalah lebih baik apatah lagi dia bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun hadapan.

"Jika masalah capaian Internet berlarutan, saya hanya mampu memohon maaf kepada guru dan mujur guru memahami masalah dihadapi," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

NUR Alea (kiri) dan Hanis Syuhada Razali (kanan) masing-masing berusia 16 tahun yang menetap di Pulau Aman terpaksa keluar belajar di luar rumah. FOTO Nur Izzati Mohamad
NUR Alea (kiri) dan Hanis Syuhada Razali (kanan) masing-masing berusia 16 tahun yang menetap di Pulau Aman terpaksa keluar belajar di luar rumah. FOTO Nur Izzati Mohamad

Rakannya, Hanis Syuhada Razali, 16, berkata dia turut menghadapi masalah sama seperti Nur Alea hingga sesi pembelajarannya menjadi kelam-kabut.

"Jika Alea menggunakan data, saya pula menggunakan perkhidmatan jalur lebar (broadband) tetapi tetap berdepan masalah sama.

"Bagaimanapun, saya tidak berputus asa dan sanggup belajar di tepi tingkap untuk mencari capaian Internet.

"Pada masa sekarang memang kena usaha sendiri jika tidak memang saya akan tercicir dalam pelajaran," katanya.

Hanis Syuhada dan Nur Alea masing-masing belajar di Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin di Bukit Mertajam.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pulau Aman, Saidi Abd Majid berkata, penduduk di kawasan berkenaan sudah lama berdepan dengan masalah capaian Internet.

"Apa yang menjadi kerisauan ialah jika pelajar terpaksa keluar rumah semata-mata ingin mendapat akses Internet pada waktu malam sekali gus menimbulkan risiko keselamatan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 4:03 PM