Pelajar mencuba peranti dan capaian internet pantas yang disediakan Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (PEMIKIR) di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Jalan Baru, di sini, bagi manfaat Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) murid dan pelajar di komuniti berkenaan. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Pelajar mencuba peranti dan capaian internet pantas yang disediakan Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (PEMIKIR) di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Jalan Baru, di sini, bagi manfaat Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) murid dan pelajar di komuniti berkenaan. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Balik Pulau: Tiada kemudahan peranti dan capaian internet lemah bukan lagi masalah kepada murid dan pelajar di Jalan Bharu, di sini, bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Ini berikutan inisiatif itu disediakan Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir) bagi membantu komuniti pinggir bandar yang berdepan kekangan.

Pengerusi Pemikir Datuk Muhammad Farid Saad berkata, pihaknya menerima maklum balas ibu bapa mengenai masalah yang dihadapi anak mereka ketika mengikuti PdPR.

Menurutnya, berikutan itu pihaknya menyediakan 25 peranti hasil sumbangan orang ramai selain capaian internet dengan kelajuan 300 megabit sesaat (Mbps).

"Penyediaan kemudahan itu dilakukan sejak lima hari lalu di Pusat Aktiviti Warga Emas, di sini, membabitkan kos lebih RM10,000.

"Kami menyasarkan untuk menyediakan sebanyak 50 peranti lagi pada Februari depan dan berharap dapat mengatasi masalah yang dihadapi murid dan pelajar setakat ini," katanya ketika ditemui, di sini.

Kemudahan itu disediakan bermula 8.30 pagi hingga 3 petang setiap hari dengan capaian internet pada radius sehingga 50 meter.

Katanya, terdapat lebih 10 kampung di kawasan itu yang menghadapi isu capaian internet lemah dan pihaknya mengalu-alukan pihak berkaitan untuk tampil membantu.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Balik Pulau, Tengku Nuralia Tengku Anwar, 17, berkata dia berdepan masalah capaian internet lemah, selain kehabisan data.

"Sebelum ini saya kerap ketinggalan dalam pelajaran berikutan capaian internet yang lemah dan inisiatif ini amat membantu kami terutama bagi menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 2:51 PM