GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengarahkan syarikat telekomunikasi melaksanakan pengoptimuman pemancar yang berhampiran dengan Kampung Baru Batu Tiga, Perak, bagi memastikan liputan internet lebih baik di kawasan berkenaan selewat-lewatnya Julai ini.

SKMM dalam kenyataan hari ini, memaklumkan langkah itu sebagai penyelesaian awal berhubung liputan internet, manakala bagi penyelesaian jangka masa panjang, suruhanjaya itu mengarahkan penyedia perkhidmatan menyediakan infrastruktur komunikasi bersesuaian di kawasan berkenaan.

Menurutnya, tindakan itu mendapat sokongan penuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selama Mohd Akmal Kamarudin.

"SKMM amat bersimpati atas kejadian yang menimpa seorang pelajar Siti A'isyah Mohd Idris, 17, yang dilaporkan parah akibat kemalangan ketika menunggang motosikal untuk ke rumah bapa saudaranya bagi mendapatkan capaian internet yang lebih baik untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," menurut kenyataan itu.

SKMM berkata, langkah penyelesaian yang dimuktamadkan hari ini hasil daripada pertemuan antara SKMM Perak dan wakil penyedia perkhidmatan terdiri daripada Celcom, Digi, Maxis serta Telekom Malaysia dengan keluarga Siti A'isyah yang turut disertai Mohd Akmal, petang semalam.

Menurutnya, pertemuan itu bertujuan mendapatkan gambaran sebenar masalah capaian yang dihadapi Siti A'isyah selain mengetahui perkembangan terkini keadaannya.

Selain itu, SKMM juga menasihatkan semua pelajar supaya berhati-hati dan tidak membahayakan diri dalam usaha mendapatkan capaian internet.

Pada 20 Jun, media melaporkan Siti A'isyah yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Hussein parah selepas terbabit kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan bagi mengikuti sesi PdPR di kawasan yang mempunyai capaian internet yang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 9:23 PM