GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Polis menahan empat lelaki dipercayai along yang dipercayai terbabit mengugut mahu memukul pekerja swasta yang membuat pinjaman sejak 2012 di sekatan jalan raya di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pada 2012, mangsa berusia 31 tahun membuat pinjaman peribadi dari sebuah syarikat pinjaman dipercayai berlesen berjumlah RM500.

Menurutnya, mangsa dikehendaki membuat bayaran balik sebanyak RM1,150 sebulan selama setahun namun pada April 2013, dia membatalkan penggunaan kad ATM yang dipegang oleh syarikat kerana dipercayai bayaran yang dibuat sudah melebihi daripada pinjaman.

"Pada Disember 2016, mangsa sekali lagi membuat pinjaman peribadi melalui laman sosial dan menyangka pinjaman yang dibuat itu adalah melalui sebuah koperasi kerana selepas mengisi maklumat yang diminta, dia dihubungi ejen pemasaran mengenai pinjaman itu.

"Ejen terbabit datang bersama dua lagi rakan berjumpa dengan mangsa di tempat yang dijanjikan dan membawa dia ke syarikat yang mana pernah membuat pinjaman pada 2012," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, mangsa diberitahu masih mempunyai hutang yang belum diselesaikan sebanyak RM8,000 dan diugut supaya membayar baki pembayaran mengikut masa ditetapkan.

"Suspek bertindak mengugut dan akan memukul pengadu sekiranya dia gagal membuat bayaran seperti yang diminta.

"Susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan empat lelaki berusia 26 hingga 28 tahun di sekatan jalan raya dalam daerah Petaling Jaya," katanya.

Beliau berkata, hasil semakan rekod lampau dapati seorang daripada empat suspek dikehendaki bersabit kes along yang disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 5:06 PM