GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Geng along yang disyaki mengugut dan menyimbah cat di rumah peminjam ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, seramai 10 individu termasuk seorang wanita berusia antara 20 hingga 49 tahun ditahan di sebuah premis pejabat di Taman Sri Bahtera, Cheras, pada 2 petang.

"Pada 12 Ogos lalu, polis menerima laporan daripada lelaki berusia 32 tahun mendakwa meminjam wang daripada pemberi pinjaman wang dipercayai tidak berlesen berjumlah RM3,000.

"Mangsa sudah melangsaikan semua hutang, namun masih lagi diganggu dengan pelbagai ugutan jenayah seperti akan menyimbah cat serta menerima panggilan mengatakan akan menampal gambar mangsa di merata tempat.

"Suspek turut bertindak agresif dengan menyimbah cat merah di sekitar ruang parkir dan pagar rumah mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, susulan laporan itu sepasukan polis membuat serbuan di premis berkenaan dan menahan suspek.

Beliau berkata, polis merampas telefon bimbit, kad sim yang digunakan untuk menghubungi mangsa.

"Kesemua suspek direman dua hari dan disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952," katanya.

Katanya, siasatan lanjut diteruskan termasuk mengesan pembabitan suspek terutama dalam pemberian pinjaman wang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 9:25 PM