GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Semua kuil di negeri yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) tidak dibenarkan mengadakan upacara Thaipusam tahun ini, dalam usaha kerajaan mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata

keputusan terhadap larangan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menteri Kanan Pertahanan Bilangan 3 Tahun 2021.

Katanya, keputusan itu diambil susulan perbincangan kementeriannya dengan Ketua-Ketua Agama Hindu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kementerian juga mengambil maklum keputusan semua kerajaan negeri supaya tiada upacara sambutan Thaipusam diadakan di rumah-rumah ibadat (kuil) di negeri masing-masing kecuali Perlis, pada tahun ini," katanya melalui kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan semula PKP di beberapa negeri untuk tempoh 14 hari sehingga 26 Januari ini.

Halimah berkata, Kementerian turut mengambil maklum kenyataan media oleh pertubuhan Malaysia Hindu Sangam (MHS) 12 Jan lalu yang tidak membenarkan sebarang upacara Thaipusam dijalankan di rumah ibadat bawah persatuan itu di seluruh negara.

Katanya, mesyuarat teknikal juga bersetuju upacara Thaipusam itu boleh diadakan di negeri-negeri bawah PKPP dengan kebenaran kerajaan negeri yang berkenaan dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.

"SOP ketat ini bertujuan mengawal penularan rantaian COVID-19 terutama dalam masa getir ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 3:40 PM