RAZARUDIN ketika sidang media di Dewan Auditorium, IPK Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
RAZARUDIN ketika sidang media di Dewan Auditorium, IPK Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan penganut Hindu di negara ini dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perayaan Thaipusam bagi mengekang penularan Covid-19.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata, SOP rasmi yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara ( MKN) harus menjadi panduan bagi memastikan perayaan Thaipusam selamat dan tidak menimbulkan kluster penularan Covid-19 yang baharu.

"Berkenaan dengan perayaan Thaipusam, memang MKN sudah keluarkan SOP. Polis sememangnya dalam keadaan bersiap sedia bagi memantau perayaan itu di seluruh negara.

"Ini bukan kali pertama, polis terbabit dalam memastikan perayaan Thaipusam di negara ini selamat dan tiada unsur jenayah. Cumanya kali ini kita terikat dengan SOP yang ketat bagi membendung penularan Covid-19.

"Patuhilah SOP sekiranya tidak mahu berdepan tindakan tegas mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Johor dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Khamis lalu, media melaporkan semua SOP sambutan Thaipusam dibuat berdasarkan cadangan pihak pengurusan kuil dan penilaian risiko kesihatan serta pencegahan penularan Covid-19 termasuk ancaman varian Omicron.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique dilaporkan berkata semua cadangan dan permintaan itu dibentangkan kepada kementeriannya menerusi sesi libat urus bersama pengerusi dan pengurusan kuil.

Antara SOP sambutan perayaan itu ialah upacara 'paal koodam' atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang dan perjalanan pedati dibenarkan pada Thaipusam kali ini.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, jumlah anggota polis bagi memantau perayaan Thaipusam bergantung kepada Ketua Polis Negeri kerana ia akan mengambil kira situasi perayaan di negeri masing- masing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 2:34 PM