BOMBA menunjukkan lokasi longkang tempat Ahmad Amin terjatuh dari motosikal ditunggangnnya sebelum dihanyutkan arus deras. FOTO IHSAN JBPM
BOMBA menunjukkan lokasi longkang tempat Ahmad Amin terjatuh dari motosikal ditunggangnnya sebelum dihanyutkan arus deras. FOTO IHSAN JBPM
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus apabila motosikal ditunggangnya terbabas menyebabkannya terjatuh ke longkang di Lebuh Persiaran Klebang 11, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, berdekatan Chemor di sini, malam tadi.

Mangsa, Ahmad Amin Ismail, 58, yang tinggal tidak jauh dari lokasi kejadian menunggang Yamaha Ego S.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Azmi Osman berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.39 malam berkaitan kejadian menimpa mangsa.

"Longkang itu berkedalaman kira-kira tiga meter dan ketika kejadian, ia dipenuhi air berikutan hujan lebat.

"Operasi mengesan mangsa masih berjalan. Pencarian pada hari ini lebih tertumpu kepada dua lokasi yang menempatkan perangkap sampah sepanjang longkang itu membabitkan jarak kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa terjatuh.

"Kaedah pemugaran juga akan dibuat untuk mengesan mangsa di kawasan tebing Sungai Klebang yang juga destinasi akhir aliran longkang dengan menumpukan kawasan yang dipenuhi pokok atau rumpai," katanya pada sidang media berhampiran lokasi kejadian hari ini.

Menurut beliau, pihaknya mengandaikan yang mangsa sudah dihanyutkan ke Sungai Klebang.

"Ini kerana, kami sudah melakukan dua hingga tiga pencarian di sepanjang longkang ini namun gagal menemuinya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz pada kenyataan berkata, motosikal mangsa turut ditemui di lokasi kejadian.

"Operasi mengesan mangsa membabitkan 52 anggota terdiri daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) serta Unit Amal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 4:24 PM