OPERASI mencari Wan Muhammad Ammar yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam longkang, FOTO Ihsan Bomba,
OPERASI mencari Wan Muhammad Ammar yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam longkang, FOTO Ihsan Bomba,
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi kanak-kanak yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, di sini, ditangguhkan sementara berikutan keadaan gelap.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, operasi yang bermula jam 5.08 petang ditangguhkan pada 8.15 malam.

"Seramai 30 anggota termasuk daripada Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta agensi lain terbabit dalam operasi ini.

"Kita akan memindahkan pusat kawalan (operasi) di sebuah tahfiz berhampiran untuk pencarian esok memandangkan lokasi berkenaan lebih dekat dengan laluan pencarian.

"Keluasan pencarian esok dianggarkan sejauh satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Norazam berkata, ketika kejadian, dua mangsa berkenaan dipercayai bermain air berhampiran longkang berkenaan bersama tiga lagi rakannya.

"Ketika kejadian, hujan lebat. Dua mangsa ini mungkin tergelincir ke dalam longkang sedalam 1.2 meter sebelum dihanyutkan arus deras," katanya.

Terdahulu, portal Harian Metro seorang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas, manakala rakannya masih hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang.

Mangsa Wan Muhammad Ammar Wan Mohd Noor Hafizan berusia lapan tahun ditemui jam 6.30 petang pada jarak 200 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

Sementara usaha mencari dan menyelamat mangsa kedua, Muhammad Rizqullah Mohd Shafie berusia 10 tahun sedang giat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 9:48 PM