Norizuan Shamsuddin


OPERASI mencari dan menyelamat dua pelajar tingkatan satu yang terjatuh ke dalam longkang berdekatan sekolah menengah di Taman Yarl, Kuala Lumpur, hari ini akan diteruskan sehingga pagi esok.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Roslan Khalid berkata, siasatan awal mendapati kejadian membabitkan tiga pelajar lelaki sewaktu pulang dari sekolah dan mereka melalui tepi longkang itu, kira-kira 3 petang.

"Ketika kejadian arus deras dan dua daripada mangsa dihanyutkan arus deras, manakala seorang rakan mereka berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada tebing sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak sekolah.

"Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan kerjasama pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Pemantauan akan dilakukan sehingga pagi esok dan sekiranya mangsa masih belum ditemui kita akan meminta bantuan unit penyelam dalam usaha mencari mangsa," katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Jelasnya, pencarian dilakukan bermula dari lokasi mangsa jatuh sehingga ke Lombong Kampung Muhibah.

"Difahamkan jarak kejadian kira-kira satu kilometer dari Lombong Kampung Muhibah dan aliran longkang terbabit mengalir ke lombong berkenaan.

"Kita juga belum mendapatkan keterangan dari mangsa yang selamat kerana dia masih trauma dan menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa Mohammad Shafiq Akmal Amran, 13 dan rakannya Rafiuddin Fakhrullah dihanyutkan arus deras ketika selepas terjatuh ketika melalui tepi longkang.

Seorang rakan mereka, Aidil Azhar Sham Saffiri berjaya menyelamatkan diri sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak sekolah dan meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Berita berkaitan

Dua sahabat dikhuatiri lemas, seorang selamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 10:49 PM