BERNAMA

Seremban: Pencarian kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke longkang di Flat Cempaka, Garden Avenue, Seremban 2, dekat sini, semalam diperluas hingga ke Sungai Linggi hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 Mohd Asree Abd Hamid berkata, pencarian Mohammad Syafiq Mustaqim Mohammad Fadly, 8, yang ditangguh pada jam 3.30 pagi disambung semula sekitar 7.40 pagi tadi ditumpukan di permukaan serta dasar sungai dan Kolam Tadahan Air Taman Arowana.

"Kita pecahkan kepada dua pasukan iaitu pasukan pertama buat pencarian dari lokasi awal mangsa terjatuh sehingga ke kolam takungan.

PASUKAN mencari dan menyelamat menjalankan operasi mengesan Mohammad Syafiq Mustaqim. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
PASUKAN mencari dan menyelamat menjalankan operasi mengesan Mohammad Syafiq Mustaqim. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

"Pasukan kedua pula dari kolam takungan hingga ke Sungai Linggi yang membabitkan pencarian sehingga sejauh tiga kilometer dari lokasi mangsa terjatuh," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, kekuatan anggota mencari dan menyelamat pada hari ini membabitkan 30 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bomba seramai 14 orang.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa bersama abangnya berusia sembilan tahun dan rakan berusia 12 tahun dikatakan sedang bermain sebelum tergelincir ke dalam longkang di flat berkenaan dan dihanyutkan air deras yang ketika itu hujan lebat.

Berita berkaitan

Sempat ucap 'selamat tinggal' sebelum dibawa arus

Budak lelaki dikhuatiri lemas selepas jatuh longkang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 11:22 AM