ANNUAR berucap ketika hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ketereh di Dewan Tun Ghaffar Baba  di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Padang Kala. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANNUAR berucap ketika hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ketereh di Dewan Tun Ghaffar Baba di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Padang Kala. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa menegaskan jangan sesekali ada pihak mempersoalkan kesetiaannya kepada Umno kerana beliau sudah lama berjuang serta merasai jatuh bangun bersama parti itu.

Annuar berkata, beliau bukan ahli yang taksub dengan individu, apatah lagi terhegeh-hegeh mahu mendapatkan jawatan atau berebut kedudukan.

"Saya ingin mencabar mereka yang belum kenal perjuangan saya yang menjadi ahli (Umno) nombor 00124 daripada 3.4 juta. Saya ahli Umno yang ke-124, yang bersama menghidupkan semula Umno sewaktu Umno diharamkan.

"Sejak saya menjadi ahli Umno pada 1978 sehingga sekarang, pelbagai perkara ditempuhi... kalah dan menang berkali-kali, menjadi menteri dan tidak menjadi menteri, diberikan pangkat, mahupun tanpa sebarang pangkat.

"Mudah-mudahan, saya akan dapat memperjuangkan dan mendukung perjuangan Umno sehinggalah ke penghujung nyawa," katanya dalam ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ketereh di Dewan Tun Ghaffar Baba, Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Melor, di sini, hari ini.

Annuar berkata, beliau bersyukur, Allah memberikan lebih daripada selayak kepadanya.

"Menteri sudah, ketua bahagian sudah, menteri kampung sudah, menteri bandar sudah. Di atas sudah, di bawah sudah. Menang sudah, kalah sudah. Apa lagi yang Annuar Musa mahu?

"Cuma satu perkara, jangan mencabar kewibawaan dan kesetiaan saya kepada parti. Belum tentu orang lain yang mencabar saya punya rekod yang lebih baik berbanding kesetiaan saya," katanya.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, Umno boleh membuat apa saja keputusan, sama ada untuk menarik balik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN), ataupun untuk menyokong DAP mahupun Datuk Seri Anwar Ibrahim, asalkan ia dibuat mengikut saluran betul.

"Ingin saya berpesan, berbincang biarlah bertempat, dan platform Facebook (FB) dan kumpulan sembang bukanlah tempat sesuai bagi membincangkan keputusan parti.

"Ada suara-suara daripada parti yang mahukan Umno menarik balik sokongan daripada PN dan kalau itu yang dimahukan, biarlah ia diputuskan oleh parti sendiri, bukan menerusi cakap-cakap yang bukan di saluran sepatutnya.

"Tapi saya nak tanyalah, keluar tu nak pergi ke mana? Keluar nak jadi pembangkang ke? Keluar nak sertai DAP ke? Keluar nak bergabung dengan Anwar Ibrahim ke? Kalau itu jalan nak keluar, ayuh kita bincang dulu," katanya.

Annuar berkata, kewibawaannya beberapa kali pernah dipertikaikan sesama ahli Majlis Tertinggi (MT) namun memilih untuk tidak menjawab dakwaan yang dilemparkan.

"Sebab bukan kelasnya kita duduk dalam Majlis Kerja Tertinggi, tetapi bedal sesama sendiri.

"Cara orang lain saya tak tahu, tapi bukan cara saya. Tapi saya bukan pondan. Saya bukan pondan politik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 6:30 PM