Annuar (berdiri kanan) bangun membantah ketika Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (berdiri kiri) mengusulkan nama Datuk Mohamad Arif Md Yusof sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat . FOTO BERNAMA
Annuar (berdiri kanan) bangun membantah ketika Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (berdiri kiri) mengusulkan nama Datuk Mohamad Arif Md Yusof sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat . FOTO BERNAMA
Mohd Anwar Patho Rohman


“BELIAU (bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia) datang Parlimen dua tiga hari lalu dan tanya kepada Setiausaha Dewan sama ada sudah terima notis pelantikan (Yang di-Pertua) dan Setiausaha Dewan beritahu belum terima,” dedah Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh mendakwa, perkara itu dimaklumkan kepadanya dalam satu pertemuan dengan Pandikar beberapa hari lalu.

“Bermakna nama itu belum ada selepas 2 Julai kerana Pakatan Harapan (PH) tidak dapat mencapai persetujuan hendak serah nama dan mereka cuba sembunyikan.

“Kenapa PH hendak sembunyikan. Kita faham jika PH ada masalah hendak lantik Kabinet, timbalan menteri kerana kita semua ahli politik, tetapi ini tidak boleh sembunyikan.

“Kalau mereka ada masalah kita sedia bekerjasama untuk setuju sokong calon mereka, tapi tangguhkan persidangan selama 14 hari untuk pilih semula dan beri notis dan bersidang,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang keluar Dewan Rakyat pada hari pertama persidangan hari ini kerana menyifatkan pelantikan Yang di_pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof tidak mengikut peraturan mesyuarat.

Annuar berkata, PH sebagai parti yang memperjuangkan keluhuran undang-undang, demokrasi dan kebebasan bersuara sepatutnya berpegang serta mendukung prinsip yang mereka perjuangkan.

Beliau turut menegaskan pembangkang bukan memboikot Dewan Rakyat apabila bertindak keluar dewan, sebaliknya membantah peraturan Parlimen dilanggar kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 2:15 PM