ANUAR Musa dan anaknya, Afiq Amani hadir memberi sokongan kepada parti masing-masing di pusat penamaan calon Majlis Daerah Ketereh- Bandaraya Islam. FOTO  Nor Amalina Alias
ANUAR Musa dan anaknya, Afiq Amani hadir memberi sokongan kepada parti masing-masing di pusat penamaan calon Majlis Daerah Ketereh- Bandaraya Islam. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan anaknya, Afiq Amani Annuar dilihat hadir memberi sokongan kepada parti masing-masing di pusat penamaan calon di Majlis Daerah Ketereh- Bandaraya Islam (MDK-BI), di sini.

Annuar, hadir memberi sokongan kepada calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri Melor, Kadok dan Kok Lanas bersama lebih 3,000 penyokong yang tiba jam 8.13 pagi.

Sementara, Afiq mengiring calon Barisan Nasional dan Parti Amanah Negara (PAN) mewakili kerajaan perpaduan bersama Ketua Umno Bahagian Ketereh, Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional turut bersama beberapa nama besar Pas dan Bersatu seperti Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin dan Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Nasruddin Hassan Tantawi serta tiga calon PRN 2023 turut menunaikan solat hajat bersama penyokong sebelum menyerahkan borang pencalonan.

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, dia hadir sebagai ahli parti Pas bagi memberi sokongan kepada bakal calon di ketiga DUN iaitu Wan Rohaimi Wan Daud (N23 DUN Melor), Datuk Azami Mohd Nor (N24 Kadok) dan Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi (N25 Kok Lanas).

Katanya, dia menyambut baik tiga calon Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan sebagai calon yang bakal, profesional dan bekerjaya iaitu seorang juru ukur, peguam dan akauntan yang turut mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang dalam parti.

"Sudah tentu tawaran baik untuk pengundi ada wakil rakyat berwibawa, kita ada prinsip jelas, bukan nak jadi calon sahaja, ibarat kita sembahyang ada imam, ada makmum, pahala imam dapat makmum pun dapat, kalau tak, kita mementingkan diri bukan perjuangan yang baik.

"Saya katakan saya patut dijadikan pilihan akhir, kalau ada calon muda, berwibawa, regenerasi, saya sudah berkali-kali jadi calon, mereka harus diberi peluang," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di MDK-BRI, Ketereh di sini, hari ini.

Annuar berkata, jika menjadi calon beliau tidak dapat membantu Pas di negeri lain sebaliknya kini beliau boleh berceramah ke serata negeri bagi memenangkan PAS pada PRN kali ini.

"Kita bukan fokus nak jadi calon je, matlamat kita lebih besar nak 'resetting' politik negara yang kelihatan songsang, kerajaan yang tak berprestasi dan hilang kepercayaan rakyat.

"Saya tetap akan mainkan peranan besar dalam PRN," katanya.

Annuar turut beriltizam membawa rakyat Ketereh untuk memberi kemenangan kepada Pas bagi kerusi DUN Kok Lanas yang sebelum ini dimenangi BN.

Beliau yang pernah memegang Parlimen Ketereh akan memastikan rakyat parlimen itu turut memberi kemenangan di kerusi DUN Kok Lanas yang menjadi milik UMNO sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 11:48 AM