ANNUAR Musa. FOTO arkib NSTP
ANNUAR Musa. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak gusar atau bimbang sekiranya kelantangannya menegur parti secara terbuka menyebabkan beliau diambil tindakan termasuk dipecat.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu sebaliknya berkata, apa yang diperkatakan itu demi kebaikan parti dan mahu Umno terus diterima rakyat.

Katanya, jika sikap keterbukaannya itu menyebabkan beliau dipecat, Ahli Parlimen Ketereh itu reda dan biarlah beliau seorang saja yang dikenakan tindakan itu.

"Saya tidak ada bimbang apa-apa, saya hanya mahu Umno selamat, dihormati dan disukai oleh rakyat. Saya adalah ahli nombor 124 daripada 3.5 juta ahli.

"Saya juga salah seorang yang menaja menghidupkan semula Umno baharu selepas parti itu diharamkan selain saya ahli Majlis Tertinggi (MT) hampir 30 tahun.

"Macam-macam orang menyindir nak pecat saya kononnya saya tidak setia dan mahu lompat pergi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Saya nak tanya adakah mereka mampu membuktikan kesetiaan kepada parti melebihi kesetiaan saya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Veteran ATM cawangan Ketereh kali ke-37 di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau tidak mahu Umno dijadikan alat kepentingan oleh kumpulan atau individu tertentu kerana keutamaan parti adalah demi memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, teguran yang dilakukan juga kerana tidak mahu Umno mengulangi nasib sama seperti PRU-14.

"Beranilah terima kelemahan kita, jika dulu, orang kritik kita (parti), kita akan pecat selain mengamalkan budaya membodek pemimpin yang akhirnya menjadikan kita jatuh tersungkur.

"Maka, ambillah semua itu sebagai iktibar kerana di luar sana terdapat tujuh juta pengundi muda yang sedang menunggu saat terdaftar sebagai pengundi berusia 18 tahun.

"Orang muda mahu melihat sebuah parti yang murni perjuangannya, parti yang bersih dengan dipimpin oleh pemimpin yang berintegriti. Mereka mahu lihat parti yang mempunyai masa depan mereka.

"Jika kita masih bawa filem lama yang tidak selari dengan hasrat rakyat , saya percaya kita akan ditolak oleh rakyat. Kalau sekali lagi Umno jatuh, mungkin Umno tidak akan bangun lagi," katanya.

Annuar berkata, jika beliau takut untuk bersuara, siapa lagi yang akan bersuara demi kebaikan parti kerana apa yang dilakukan itu mengikut peraturan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 3:27 PM