Antara penerjun ekstrem yang melakukan terjunan pada di majlis pelancaran Putrajaya Base Jump 2020 sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Jubli Perak 25 Tahun Putrajaya. Foto Bernama
Antara penerjun ekstrem yang melakukan terjunan pada di majlis pelancaran Putrajaya Base Jump 2020 sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Jubli Perak 25 Tahun Putrajaya. Foto Bernama
BERNAMA

PESERTA terjun ekstrem sempena Putrajaya Base Jump berdepan detik cemas apabila payung terjunnya tersangkut pada tiang lampu bangunan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat ketika hendak melakukan pendaratan hari ini.

Dalam kejadian pada 5 petang itu, penerjun dari Jepun Yasuhiro Kubo tergantung pada tiang lampu sisi bangunan berkenaan lebih 10 minit sebelum diselamatkan oleh pihak pengurusan acara dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya.

Mangsa yang mempunyai pengalaman lebih 32 tahun dan melakukan 12,000 terjunan dalam pelbagai disiplin itu dipercayai tersangkut pada aras 21 bangunan setinggi 40 tingkat itu, dipercayai ditolak angin ke arah dinding bangunan berkenaan sejurus melakukan terjunan.

Tinjauan Bernama di tempat kejadian mendapati pengurusan acara menggunakan gondola, alat yang digunakan oleh kontraktor untuk membersihkan cermin bangunan bagi menurunkan mangsa.

Lelaki berusia lewat 50-an yang dilihat tidak mengalami sebarang kecederaan itu diberikan rawatan awal oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Kubo yang dilihat ceria sambil melambai-lambai rakan penerjun lain selain berswafoto ketika berada di dalam gondola semasa proses menurunkannya bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen ketika ditemui.

Kubo merupakan antara 34 peserta asing dari sembilan negara yang mengambil bahagian dalam acara Putrajaya Base Jump anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) sempena 25 tahun penubuhan Putrajaya dan sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj Tengku Aina Tengku Ismail Shah dalam satu kenyataan berkata, pihak penganjur telah membuat persiapan rapi bagi berhadapan sebarang insiden menyedari sukan ekstrem itu sememangnya berisiko.

Beliau berkata, pasukan teknikal juga turut mendapat bantuan daripada pasukan keselamatan yang sentiasa bersiap siaga di tapak penganjuran antaranya pasukan polis, bomba, APM dan Hospital Putrajaya.

Katanya, Kubo berjaya diturunkan dengan cepat hasil tindakan pantas pasukan teknikal acara serta bomba yang berada di lokasi kejadian.

Selepas dibawa ke hospital, Kubo disahkan hanya mengalami kecederaan ringan dan akan pulang ke Tokyo pada malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 11:04 PM