J Arul Kumar. FOTO arkib NSTP
J Arul Kumar. FOTO arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Seramai 1,091 pekerja membabitkan 925 warga tempatan dan 166 warga asing diberhentikan kerja membabitkan 104 majikan di negeri ini, sejak Januari hingga September lalu.

Sektor pembuatan dan perkhidmatan menjadi penyumbang terbesar pekerja diberhentikan terbabit kesan daripada penularan wabak pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J Arul Kumar berkata, seramai 482 pekerja diberhentikan daripada sektor pembuatan manakala 249 orang daripada sektor perkhidmatan.

"Sektor lain turut membabitkan pemberhentian pekerja termasuk sektor peruncitan (104), pembinaan (133) serta pendidikan dan taska ((57) dan lain-lain (66).

"Kerajaan negeri mengambil berat nasib pekerja tempatan yang terbabit dengan pemberhentian kerja dan sentiasa memantau melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dengan memastikan pekerja terbabit mendapat pampasan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) yang ingin tahu jumlah anak negeri yang hilang pekerjaan serta sektor berkaitan selain insentif atau bantuan diterima.

Arul (PH-Nilai) menjelaskan perkara itu pada sesi Pertanyaan Lisan pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari sehingga September tahun ini, sebanyak RM30.7 juta dibayar majikan sebagai pampasan kepada pekerja berkenaan.

"Selain pampasan majikan, pekerja terbabit mendapat faedah daripada Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang membabitkan beberapa faedah.

"Antaranya elaun mencari pekerjaan (EMP), elaun bekerja semula awal (EBSA), elaun pendapatan berkurangan (EPB), elaun latihan dan fi latihan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui JobsMalaysia membantu pekerja berkenaan mendapatkan pekerjaan baharu melalui program penempatan pekerjaan semula.

Katanya, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan kewangan kepada pekerja diberhentikan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 6:10 PM