Permintaan merosot serta pengecilan tenaga kerja antara sebab pemberhentian pekerja dilaksanakan. - Foto Fail/ Reuters
Permintaan merosot serta pengecilan tenaga kerja antara sebab pemberhentian pekerja dilaksanakan. - Foto Fail/ Reuters
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 31,476 pekerja terbabit dalam pemberhentian kerja antara 1 Januari sehingga September lalu, sama ada pemberhentian biasa atau secara sukarela (VSS).

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abd Muttalib berkata, 17,051 atau 54.2 peratus pekerja terbabit dalam pemberhentian biasa, manakala 14,425 lagi atau 45.8 peratus secara sukarela (VSS).

"Pekerja yang diberhentikan dibayar faedah penamatan oleh majikan sekurang-kurangnya mengikut Akta Kerja 1955 atau perjanjian bersama.

"Pemberhentian secara VSS adalah tindakan sendiri menawarkan diri dan bersetuju ditamatkan perkhidmatan dengan syarat majikan membayar faedah penamatan atau pampasan yang lebih baik daripada peruntukan undang-undang," katanya menjawab soalan Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) mengenai jumlah pekerja diberhenti akibat cabaran ekonomi dunia di Dewan Rakyat hari ini.

Ismail berkata, tahun lalu, 44,343 pekerja diberhentikan membabitkan 24,452 atau 55.1 peratus pekerja pemberhentian biasa dan 19,891 atau 44.9 peratus melalui VSS.

Menurutnya, pemberhentian kerja tidak boleh dielakkan disebabkan pelbagai faktor, antaranya ketidakstabilan pasaran ekonomi nasional dan global.

"Tiada atau merosotnya permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan, pengoptimuman teknologi komunikasi maklumat, penutupan perniagaan sepenuhnya atau sebahagian, pengecilan tenaga kerja, pengambilalihan syarikat, penstrukturan semula organisasi dan penggabungan syarikat turut menyumbang kepada keadaan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 7:19 PM