Rakyat yang hilang pekerjaan dipelawa menceburi TVET. FOTO Arkib NSTP
Rakyat yang hilang pekerjaan dipelawa menceburi TVET. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

LAPORAN Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mendapati 24,600 pekerja diberhentikan majikan bagi tempoh Januari sehingga September lalu, kata Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sektor pembuatan mencatatkan kehilangan pekerjaan tertinggi iaitu 7,944 orang.

Bagi membantu pekerja yang diberhentikan, kerajaan mengambil langkah seperti memperkenalkan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) mulai Januari 2018 sebagai satu bentuk perlindungan keselamatan sosial kepada golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan.

Pihak majikan juga dikehendaki melaporkan kepada JTK jika mahu melaksanakan pemberhentian pekerja.

“Kerajaan menetapkan melalui Akta Kerja 1955 mengutamakan pekerja dalaman dan pekerja asing diberi pilihan akhir,” katanya pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang ingin tahu langkah untuk mengurangkan pembuangan pekerja dan angka terkini mengikut pecahan industri.

Sementara itu, bagi menjawab soalan tambahan Ahmad mengenai langkah kerajaan bagi membantu golongan hilang pekerjaan, Kulasegaran berkata, rakyat negara ini dipelawa menceburi bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurutnya, analisis kementerian bersama Bank Dunia mengenai “Critical Occupation List” mendapati, dalam tempoh empat hingga lima tahun 80 peratus penuntut jurusan akaun berkemungkinan tidak akan mempunyai pekerjaan.

“Penekanan baru yang perlu diberi perhatian ialah kita mempelawa warganegara supaya memberi perhatian kepada kerja yang ada harapan untuk dapat iaitu dalam bidang TVET,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 3:38 PM