GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Sri Ayu Kartika Amri


KESAN Covid-19 menyebabkan kehilangan pekerjaan di negara ini meningkat sebanyak 42 peratus bagi suku pertama 2020, menurut laporan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ini berikutan banyak perniagaan dan syarikat terpaksa menutup operasi disebabkan pandemik Covid-19.

Laporan itu turut menyatakan, trend kehilangan pekerjaan juga dijangka meningkat 50 peratus kepada 200 peratus tahun ke tahun bagi setiap suku pada 2020.

Daripada 7.5 juta kakitangan aktif berdaftar dengan Perkeso pada 2019, 1.458 juta bekerja dalam sektor berkaitan pelancongan manakala 1.457 juta bekerja dalam bidang pembuatan.

"Tidak menghairankan jika lebih daripada separuh perniagaan ditutup membabitkan majikan besar dengan lebih 200 pekerja dalam sektor pelancongan manakala sektor pembuatan memberhentikan paling ramai pekerja iaitu 23 peratus daripada jumlah keseluruhan untuk mengurangkan kos operasi selepas terpaksa menutup kilang," katanya.

Laporan yang bertajuk 'Unjuran Pekerjaan Suku Pertama 2020,Bilangan 4/2020, Impak Covid-19 terhadap Kehilangan Pekerjaan (LOE)' itu juga menyatakan peratusan pekerja berusia 40 tahun dan ke bawah yang berdaftar dengan Perkeso sebenarnya menurun sebanyak empat peratus tahun lalu, daripada kalangan kumpulan ini, 84 peratus sudah bekerja lebih dua tahun di syarikat yang sama.

Sebanyak 79 peratus kehilangan pekerjaan berlaku di lima negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Kedah dan Pulau Pinang.

Selangor negeri paling tinggi kehilangan pekerjaan iaitu 32 peratus, namun perlu diperhatikan bahawa 30 peratus daripada kesemua pekerjaan berada di Selangor, mewakili peningkatan enam peratus berbanding 2018.

"Lebih membimbangkan adalah Kedah yang menyumbang satu daripada enam kehilangan pekerjaan walaupun menempatkan sejumlah kecil majikan.

"Kehilangan pekerjaan di Johor kebanyakannya dalam sektor perkilangan dengan 37 peratus dan industri berkaitan pelancongan sebanyak 36 peratus," katanya.

Laporan itu turut menyatakan di negeri seperti Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Labuan, kehilangan pekerjaan tertumpu kepada industri berkaitan pelancongan.

Manakala negeri lain termasuk Putrajaya membabitkan sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Sarawak (pembinaan), Pahang (sektor lain yang tidak dikelaskan), Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Terengganu (semua pembuatan).

"Rata-ratanya, setiap majikan mempunyai 15 pekerja asing untuk setiap pekerja yang diberhentikan.

"Nisbahnya lebih tinggi di syarikat besar dengan lebih 200 pekerja dengan 69 pekerja asing bagi setiap pekerja yang diberhentikan," katanya.

Selain itu, data LOE juga menunjukkan 61 peratus kehilangan pekerjaan adalah dalam kalangan pekerja berusia 40 tahun dan ke bawah, dengan 31 hingga 40 tahun menyumbang 32 peratus manakala pekerja di bawah 30 tahun sebanyak 29 peratus.

Kadar pengangguran belia pula kekal stabil pada lapan ke 11 peratus.

Bagaimanapun, mereka adalah demografi usia yang paling mudah terdedah kepada pemberhentian pekerja.

Manakala, pekerja lelaki lebih cenderung diberhentikan kerja berbanding pekerja wanita iaitu 61 peratus, ini menggambarkan bahawa terdapat lebih ramai pekerja lelaki daripada wanita dalam tenaga kerja.

Hakikatnya, kadar pengangguran dijangka mencecah empat peratus pada 2020 berbanding 3.2 peratus semasa krisis kewangan Asia pada 1997 dan 3.7 peratus ketika kegawatan ekonomi pada 2018.

Sementara itu, angka pemberhentian pekerja dijangka sama seperti ketika krisis kewangan Asia pada 1997 berikutan langkah pencegahan menerusi Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dan Program Subsidi Upah (PSU) yang diambil kerajaan untuk mengelakkan pemberhentian pekerja secara besar-besaran.

Berita berkaitan:

  • Pemberhentian pekerja rugikan majikan: MEF
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 12:31 PM