ARUL Kumar (tengah) pada sidang media di Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
ARUL Kumar (tengah) pada sidang media di Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil

KERAJAAN negeri menafikan dakwaan bahawa berlaku pemberhentian pekerja tempatan yang keterlaluan dalam pelbagai sektor di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri J Arul Kumar berkata, sebaliknya, aliran pemberhentian pekerja bagi tempoh 2018 dan 2019 adalah terkawal.

Katanya, banyak faktor yang mempengaruhi permasalahan berkenaan termasuk perpindahan kilang ke negara lain.

Menurut beliau, sepanjang 2019, 612 pekerja terdiri daripada 556 pekerja tempatan dan 56 asing diberhentikan membabitkan 63 majikan dengan 24 majikan menutup operasi dan 39 daripadanya pula melaksanakan pengurangan pekerja.

“Berbanding 2018, sebanyak 40 majikan melaksanakan pemberhentian pekerja membabitkan 421 orang terdiri daripada 414 pekerja tempatan dan tujuh pekerja asing.

“Bagaimanapun, jumlah pemberhentian pekerja bagi 2016 dan 2017 adalah lebih tinggi iaitu 1,275 bagi 2016 dan 1,327 bagi 2017.

“Kerajaan negeri mengambil perhatian serius segala permasalahan ini dan akan memastikan pekerja terbabit mendapat pampasan sewajarnya mengikut undang-undang ditetapkan.

“Malah usaha turut dibuat menerusi beberapa agensi lain dalam membantu mereka mendapatkan pekerjaan baharu,” katanya pada sidang media di Seremban, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Arul Kumar berkata, kadar gaji minimum 2020 yang ditetapkan kerajaan akan membabitkan tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Majlis Perbandaran Jempol (MPJ).

“Sebelum ini, timbul kekeliruan berhubung pemakaian gaji minimum 2020 di kawasan Nilai dan disebabkan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) sudah bergabung dengan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) bagi membentuk Majlis Bandaraya Seremban, kadar baru itu terpakai kepada semua tempat pekerjaan di Nilai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 5:57 PM