GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Usahawan mikro di bawah Program Usahawan Mikro Go Digital bakal menerima set komputer bagi membantu mereka memasarkan produk secara dalam talian, selaras ciri norma baharu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, bantuan khas itu menyasarkan usahawan mikro yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dengan peruntukan keseluruhan RM320,950.

"Sebanyak 350 set komputer yang menggunakan peranti 'Ruggedized Next Unit of Computing (NUC)' bagi menggantikan unit pemprosesan komputer (CPU) akan disumbangkan kepada usahawan mikro terpilih.

"Usahawan ini yang juga rakyat negeri ini, mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pengundi Pulau Pinang dan menjalankan perniagaan sekurang-kurangnya tiga bulan, adalah layak memohon," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Chow berkata, bantuan berkenaan adalah inisiatif Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pembangunan Usahawan dan lanjutan daripada program sebelum ini yang memanfaatkan 1,300 usahawan.

Susulan kemudahan yang terhad, katanya, usahawan akan dikenal pasti menerusi pejabat daerah, pejabat parlimen, penyelaras kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun agensi lain berkaitan.

Pihaknya turut mengalu-alukan korporat mahupun pihak lain yang mahu sama membantu usahawan mikro Pulau Pinang.

"Pemohon boleh memuat turut borang secara dalam talian menerusi www.pdc. gov. my bermula 25 November hingga 9 Disember depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 2:12 PM