GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Seramai 1,111 usahawan mikro di Negeri Sembilan lulus untuk menerima bantuan geran daripada kerajaan negeri menerusi Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS), tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Abd Malek berkata, mereka bakal menerima geran berjumlah sehingga RM3,000 yang membabitkan jumlah dana keseluruhan RM3 juta.

"Dalam mesyuarat Jawatankuasa TUNS terakhir yang diadakan semalam, sebanyak 510 permohonan diteliti dan 505 diterima manakala lima permohonan ditolak kerana tidak menepati syarat ditetapkan.

"Sebelum ini, jawatankuasa sudah meluluskan 606 permohonan usahawan mikro menerusi tabung ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Rafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, berkata pihaknya akui dana RM3 juta yang diperuntukkan itu tidak mencukupi untuk memenuhi kesemua permohonan daripada usahawan terbabit, yang sentiasa bertambah.

Justeru, beliau berkata, jawatankuasa berkenaan bersetuju untuk lebihan beberapa pemohon yang diluluskan itu dapat terus disalurkan peruntukan dana berkenaan pada tahun hadapan.

"Usahawan yang berjaya dijangka terima sijil kelulusan pada akhir bulan hadapan dan bakal menerima dana geran masing-masing menjelang awal Disember nanti," katanya.

Katanya, setakat ini dana berkenaan memberi manfaat kepada 1,046 usahawan mikro pada tahun 2019 dan 2,023, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 11:05 AM