NOH (tengah) bergambar bersama penerima bantuan pada Program Pembangunan Usahawan Keluarga Malaysia. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
NOH (tengah) bergambar bersama penerima bantuan pada Program Pembangunan Usahawan Keluarga Malaysia. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Koperasi di negara ini diharap dapat memainkan peranan penting memastikan harga barangan seperti ayam dan telur menjadi lebih murah terutama membabitkan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, bagi tujuan itu, Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memberi subsidi kepada koperasi dengan peruntukan sebanyak RM3 juta supaya dapat menjual barang lebih murah.

Katanya, subsidi itu akan diberi kepada koperasi yang menjalankan aktiviti perniagaan runcit.

"Kita berharap koperasi akan dapat membantu kerajaan memastikan bekalan makanan basah seperti ayam menjadi murah dan lebih stabil," katanya ditemui media selepas merasmikan Program Pembangunan Usahawan Keluarga Malaysia di Kompleks Umno Simpang Pertang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun ) Pertang, Noor Azmi Yusof dan Adun Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali.

Dalam perkembangan lain, Noh berkata, terdapat salah faham berhubung kenyataannya mengenai penangguhan gaji minimum baharu ke atas perusahaan kecil dan sederhana.

Katanya, Kementerian Sumber Manusia diminta berbincang dengan KUSKOP bagi penangguhan gaji minimum hanya dalam kalangan usahawan mikro saja.

"Usahawan mikro ini membabitkan mereka yang memperolehi pendapatan tahunan bawah RM300,000 dan pekerja kurang lima orang.

"Usahawan mikro adalah mereka yang berniaga kecil-kecilan dan wajar mereka tidak perlu membayar gaji minimum kepada pekerja berikutan pendapatan tidak besar berbanding usahawan industri kecil dan sederhana," katanya.

Noh bagaimanapun berkata, jika ada usahawan mikro yang boleh membayar gaji minimum kepada pekerja, ia sangat dialu - alukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 8:18 PM