GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Perbuatan terkutuk seorang lelaki melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di rumahnya di Desa Mentari, di sini, mengundang padah ditahan semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian berlaku pada 12 tengah hari, 3 November lalu apabila suspek berusia 45 tahun yang juga suami kepada pengasuh kanak-kanak terbabit datang ke rumah ketika mangsa berseorangan.

Menurutnya, suspek memberi alasan ingin memulangkan pelitup muka milik mangsa menyebabkan dia membenarkan lelaki itu masuk ke dalam rumah.

"Apabila berada di dalam rumah, suspek memanggil mangsa duduk bersebelahan dengannya lalu mencabulnya menyebabkan kanak-kanak itu menjerit beberapa kali sebelum suspek melarikan diri.

"Mangsa kemudian menghubungi ibu saudaranya mengenai kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ku Mashariman berkata, ibu saudara mangsa bersama suaminya kemudian terserempak dengan suspek jam 9 malam semalam ketika dia baru pulang dari tempat kerja.

"Bapa saudara mangsa memanggil suspek tetapi dia cuba melarikan diri namun berlaku pergelutan sebelum dia ditahan dan dibawa ke Balai Polis Petaling Jaya untuk tindakan selanjutnya.

"Suspek direman seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 6:05 PM