SENJATA tiruan yang dirampas polis. FOTO Ihsan Polis
SENJATA tiruan yang dirampas polis. FOTO Ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Tindakan dua lelaki berpakaian cosplay dengan membawa senjata tiruan mengundang padah apabila ditahan ketika berada di sebuah pusat belah di Damansara Jaya, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima laporan polis pada 4.30 petang mengenai dua lelaki berpakaian taktikal Let's Anime Cosplay dengan lengkap bersenjata tiruan di perkarangan pusat beli-belah terbabit.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis kemudian menahan mereka.

"Pemeriksaan yang dilakukan berjaya merampas selaras senjata tiruan jenis M4, sepucuk pistol tiruan jenis Glock dan dua butir bom tangan tiruan.

"Semakan rekod lampau mendapati mereka tiada rekod kesalahan lampau," katanya dalam kenyataan malam ini.

Ku Mashariman berkata, suspek direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

"Polis Jaya menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli atau memiliki senjata tiruan dengan sengaja kerana ia menyalahi undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 8:43 PM