Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Akibat tidak puas hati keretanya dilanggar, seorang lelaki bertindak memaki serta mencekik leher pemandu kenderaan yang melanggar keretanya di Jalan SS 4B/10 di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian pada 6.40 pagi itu dipercayai berpunca apabila seorang lelaki berusia 53 tahun yang memandu Perodua Bezza melanggar sebuah Proton Waja di lokasi berkenaan.

"Selepas pelanggaran itu, dua lelaki iaitu pemandu serta penumpang Proton Waja berkenaan keluar dari kenderaan lalu memarahi mangsa.

"Seorang daripada mereka kemudian mencekik leher serta menolak badan mangsa hingga dia tersandar di pintu keretanya.

"Suspek juga mengugut mangsa menggunakan kayu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ku Mashariman berkata, dua lelaki termasuk seorang warga asing yang berada di lokasi cuba membantu, namun suspek memukul kedua-dua lelaki berkenaan menyebabkan mereka melarikan diri.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, kami berjaya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun di sebuah kedai minuman di Jalan 7/26 Petaling Jaya pada 6.30 petang, hari yang sama.

"Kami juga merampas sebuah Proton Waja, kunci dan alat kawalan jauh selain satu rotan yang dipercayai digunakan ketika kejadian.

"Suspek direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 8:55 PM