GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin dan Fazrik Kamarudin


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap ibu bapa kanak-kanak perempuan empat tahun yang maut selepas terjatuh dari tingkat 17 di Blok A, PPR Kota Damansara, 13 September lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kertas siasatan itu dibuka di atas kecuaian pasangan berkenaan selepas kejadian itu.

“Kita sudah buka kertas siasatan terhadap ibu dan bapa mangsa, siasatan dijalankan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

“Keterangan daripada pasangan itu sudah diambil, manakala siasatan kes berkenaan masih berjalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ku Mashariman berkata, pihaknya juga masih menunggu laporan lengkap bedah siasat mangsa bagi melengkapkan siasatan.

Katanya sebaik lengkap, kertas siasatan akan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kejadian 7.10 pagi itu, mangsa maut terjatuh dari tingkat 17 selepas dipercayai tergelincir ketika memanjat kerusi plastik di balkoni rumah yang tidak dipasang jeriji atas.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan bersendirian di rumah kerana ibu bapanya keluar sejak 6 pagi untuk berniaga nasi lemak di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Manakala kakak mangsa berusia 14 tahun keluar menghantar seorang lagi adiknya berusia tujuh tahun ke tadika di Blok D PPR berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 4:40 PM