GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Lelaki yang menghamburkan kata-kata kesat dan menyerang polis selepas membelasah isterinya ditahan di Sungai Way, Petaling Jaya semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) yang menerima maklumat berhubung kejadian seorang lelaki memukul isterinya di sebuah rumah di Blok Impian Baiduri, Sungai Way bergegas ke lokasi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sebaik tiba didapati suspek berada dalam keadaan marah dan turut mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis.

Menurutnya, berlaku pergelutan antara suspek dengan anggota polis sehingga dia bertindak agresif mencekik leher dan menyerang polis dengan sebatang kayu.

"Anggota polis itu mengalami kecederaan ringan tetapi suspek berjaya ditahan dan kini direman selama empat hari.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 7:17 PM