SYED Saddiq pada sidang media selepas membuat laporan polis. FOTO Mohd Azam Shah Yaacob
SYED Saddiq pada sidang media selepas membuat laporan polis. FOTO Mohd Azam Shah Yaacob
Mohd Azam Shah Yaacob


“SAYA tidak tahu apa niat Papagomo mencekak leher saya menggunakan lengannya, tetapi beliau ada menyebut supaya saya tidak datang ke situ (pusat penamaan calon),” kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurutnya, ketika kejadian pengendali blog, Papagomo atau atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris turut mengugutnya supaya beliau tidak mencari pasal.

Katanya, selain itu penyokong Barisan Nasional (BN) yang mengerumuninya turut menjerit dan mengeluarkan kata kesat serta biadap terhadap dirinya.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 11.05 pagi tadi di Pusat Penamaan Calon di Dewan Seri Cempaka, Semenyih sebaik tamat proses penamaan calon.

“Ketika itu saya dalam perjalanan menuju ke kereta bersama tiga lagi rakan sebelum perasan beberapa individu dari parti pembangkang mengekori dari belakang termasuk Papagomo sambil menjerit perkataan kesat.

“Saya ambil pendekatan tidak melayan provokasi mereka dan terus menuju ke kereta sebelum melihat Papagomo lari ke arah kami.

“Selepas itu kami tiba-tiba dikerumuni penyokong BN dan pada ketika itulah ada seseorang tiba-tiba mencekak leher saya dari bahagian belakang sebelah kanan dengan kuat,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way, hari ini.

Syed Saddiq berkata, sebaik menoleh, dia mendapati individu yang mencekak lehernya itu adalah Papagomo.

“Ketika itulah Papagomo yang juga Exco Pemuda UMNO itu meminta supaya saya tidak datang ke situ dan jangan cari pasal.

“Ketika itu saya tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya berdiam diri sehinggalah beberapa anggota polis trafik serta sukarelawan Unit Amal PAS datang meleraikan kumpulan itu termasuk menjauhkan Papagomo dari saya,” katanya.

Syed Saddiq berkata, sebelum kejadian itu, penyokong parti berkenaan turut mengeluarkan kata-kata kesat seperti ‘Bodoh’ , ‘Bangang’, ‘Anjing’ dan ‘Hancing’.

Katanya, ada banyak pemerhati yang melihat kejadian termasuk polis.

Sebelum ini, tular video suasana kecoh di kawasan penamaan calon di Dewan Seri Cempaka apabila Ahli Parlimen Muar itu dikerumuni penyokong BN.

Malah, susulan kejadian itu, Syed Saddiq turut membuat satu laporan polis di Balai Polis Kajang sebelum membuat laporan susulan di Balai Polis Sungai Way, jam 2 petang tadi.

Malah, beliau juga dijangka membuat pemeriksaan kesihatan di hospital, petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din mengesahkan menerima laporan dibuat Syed Saddiq.

Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan kes itu dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan selanjutnya berikutan kejadian berlaku di Semenyih yang berada dalam kawalan keselamatan IPD berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 5:46 PM