KUCING yang terperangkap dalam kenderaan Muhammad Ashfan (kiri) dan kenderaan  Aws Qarny (kanan). FOTO Ihsan Muhammad Ashfan Mazlan dan Aws Qarny ‘Adli
KUCING yang terperangkap dalam kenderaan Muhammad Ashfan (kiri) dan kenderaan Aws Qarny (kanan). FOTO Ihsan Muhammad Ashfan Mazlan dan Aws Qarny ‘Adli
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: "Berdebar saya memandu kereta sejauh 40 kilometer apatah lagi mengetahui ada kucing di bahagian fender berdekatan tayar dan enjin hadapan," kata Muhammad Ashfan Mazlan.

Muhammad Ashfan, 24, menceritakan detik cemas itu apabila seekor kucing terperangkap pada fender berdekatan tayar dan enjin kereta Honda Jazz dinaikinya ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Petani, Kedah, Isnin lalu.

Dia yang bekerja di Perda, Pulau Pinang sebagai pereka grafik pada mulanya meminta bantuan polis di sekatan jalan raya (SJR) di depan tol Sungai Petani Utara, namun dinasihatkan untuk ke bengkel kenderaan untuk mengeluarkan kucing itu.

Menceritakan semula kejadian itu, Muhammad Ashfan berkata, ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya, dia terdengar bunyi kucing sebaik tiba di Plaza Tol Sungai Petani Utara.

Katanya, dia berhenti di SJR di hadapan plaza tol itu dan mendapati ada seekor kucing terperangkap pada bahagian atas fender berdekatan tayar dan enjin hadapan.

"Saya meminta bantuan anggota polis untuk mengeluarkan anak kucing itu, tetapi mereka menyarankan saya pergi ke bengkel berdekatan supaya lebih selamat.

"Lebih 30 minit anak kucing itu terperangkap pada fender kereta sebelum saya sampai di bengkel berdekatan," katanya kepada Harian Metro.

MEKANIK membantu mengeluarkan kucing yang terperangkap dalam kenderaan Muhammad Ashfan. FOTO Ihsan Muhammad Ashfan Mazlan
MEKANIK membantu mengeluarkan kucing yang terperangkap dalam kenderaan Muhammad Ashfan. FOTO Ihsan Muhammad Ashfan Mazlan

Menurut Muhammad Ashfan, dia biasa mendengar kejadian kucing memasuki bahagian dalam kereta, namun itu kali pertama dia merasai pengalaman seperti itu.

"Sejurus tiba di bengkel, saya meminta bantuan mekanik untuk mengeluarkan kucing itu dan akhirnya berjaya.

"Sebaik diselamatkan, kucing itu pada mulanya masuk pula ke bahagian dalam sebuah kereta lain di bengkel itu sebelum melarikan diri," katanya.

Sementara itu, Aws Qarny 'Adli, 28, yang mengalami kejadian sama turut memberi nasihat di akaun Twitter miliknya selepas kejadian seekor anak kucing berteduh di bahagian enjin dalam keretanya, minggu lalu.

"Saya berharap orang ramai memeriksa kenderaan terlebih dahulu sebelum memandu disebabkan kemungkinan ada kucing yang berteduh di situ memandangkan sekarang musim hujan," katanya.

Menceritakan semula kejadian di rumahnya di Dungun, Terengganu itu, Aws Qarny berkata, ia berlaku sebelum dia memandu keretanya ke tempat kerja.

"Ketika pemeriksaan di bahagian enjin saya dapati kucing itu duduk di situ dan mencuba untuk mengeluarkannya sendiri.

"Saya dan isteri melakukan pelbagai cara bagi mengumpan anak kucing itu keluar. Hari sebelum itu hujan lebat, mungkin kucing itu sejuk dan cuba cari tempat yang hangat untuk berteduh," katanya.

AWS Qarny cuba mengeluarkan anak kucing yang terperangkap dalam kenderaannya. FOTO Ihsan Aws Qarny ‘Adli
AWS Qarny cuba mengeluarkan anak kucing yang terperangkap dalam kenderaannya. FOTO Ihsan Aws Qarny ‘Adli

Aws Qarny berkata, dia mahu menghubungi pasukan Bomba dan Penyelamat ketika itu, namun kucing itu akhirnya keluar sendiri selepas 15 minit.

"Saya mengumpan kucing itu dengan makanan serta mengetuk bahagian depan kereta dan akhirnya kucing itu keluar dengan sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 6:17 PM