ANGGOTA APM Kota Setar membantu mengeluarkan seekor anak kucing yang terperangkap pada tayar kereta di sebuah kedai kopi dan roti di Mergong. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM Kota Setar membantu mengeluarkan seekor anak kucing yang terperangkap pada tayar kereta di sebuah kedai kopi dan roti di Mergong. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan anak kucing yang terperangkap pada bahagian tayar kereta awal pagi tadi.

Bunyi kucing tidak henti-henti mengejutkan orang awam yang mendapati kucing itu tersepit di bahagian hadapan tayar kereta Chevrolet yang diletakkan di hadapan kedai di Mergong.

Pegawai APM Kota Setar, Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan MERS 999, 9.32 pagi mengenai kejadian itu.

Katanya, anak kucing itu tersepit pada bahagian kiri tayar hadapan kenderaan itu.

"Operasi disertai empat anggota bersama kenderaan pacuan empat roda.

"Anggota APM menggunakan spanar untuk membuka pelapik brek tayar untuk mengeluarkan anak kucing itu," katanya.

Mohd Shukri berkata operasi menyelamat itu selesai pada 11.05 pagi.

Beliau berkata, tugas mengeluarkan anak kucing itu bukan tugas yang mudah kerana ia terpaksa dilakukan dengan teliti untuk mengelakkan anak kucing itu mengalami kecederaan.

Katanya lagi, sepanjang tempoh dua bulan ini pihaknya menerima hampir 30 panggilan untuk menyelamatkan kucing yang terperangkap termasuk pada dahan pokok, pasu bunga dan tayar kereta di daerah ini.

"Boleh dikatakan dalam sebulan, sebanyak lapan hingga sembilan kes kami terima membabitkan kucing terperangkap di tempat yang tinggi, pasu bunga dan tayar kereta.

"Sehubungan itu katanya, orang ramai yang terserempak dengan kes seperti ini boleh menghubungi talian kecemasan untuk membolehkan bantuan segera dilakukan oleh anggota kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 3:28 PM