Nurul Hidayah Bahaudin

BUNYI misteri didengari anggota polis trafik bertugas di sekatan jalan raya (SJR) berhampiran Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur membawa kepada penemuan seekor kucing yang terperangkap di bahagian bumper kereta Honda City, hari ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pegawai polis yang bertugas di SJR berkenaan.

"Sebaik tiba, kami mendapati terdapat seekor kucing terperangkap di bumper depan kereta berkenaan sebelum ia dikeluarkan 30 minit kemudian.

"Kami membuka pelapik aksesori enjin di bahagian bumper depan kereta terbabit sebelum berjaya mengeluarkan kucing itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelihatan anggota APM Sentul berjaya mengeluarkan seekor kucing yang terperangkap dalam enjin sebuah kereta di sekatan Jalan Raya di Plaza Tol Duta ketika tinjauan sambutan hari raya pertama aidilfitri  susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan Covid-19. FOTO ASWADI ALIAS.

Katanya, pihaknya difahamkan lelaki yang memandu kereta itu dalam perjalanan dari Keramat menghala ke Shah Alam, Selangor ketika kejadian.

"Dia kemudian ditahan anggota polis trafik bertugas untuk pemeriksaan. Ketika pemeriksaan dilakukan, anggota itu terdengar bunyi kucing sebelum menemuinya terperangkap di bahagian bumper depan kereta itu.

"Kucing itu tidak cedera dan diserahkan kepada lelaki berkenaan untuk dipulangkan kepada pemiliknya dipercayai jirannya.

"Difahamkan lelaki itu berpatah balik ke rumahnya untuk menghantar kucing berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 7:57 PM