Gambar yang dirakam anggota polis Hackettstown menunjukkan kucing yang terperangkap dalam bahagian enjin pikap berjaya dikeluarkan tanpa kecederaan. - AP
Gambar yang dirakam anggota polis Hackettstown menunjukkan kucing yang terperangkap dalam bahagian enjin pikap berjaya dikeluarkan tanpa kecederaan. - AP

Hackettstown (New Jersey): Seekor kucing diselamatkan dari enjin sebuah pikap selepas kenderaan itu bergerak sejauh 45 kilometer dari Pennsylvania ke New Jersey, semalam.

Tanpa disedari pemandu pikap itu, kucing berbulu jingga belang putih itu merangkak masuk ke dalam bahagian enjin dan pemandu berkenaan memandu kenderaan dari Stroudsburg Timur di Pennsylvania ke sebuah kilang coklat di Hackettstown, New Jersey.

Ketika pikap berkenaan berada di tempat letak kereta, pekerja di kilang itu mendengar kucing mengiau dari bahagian enjin lalu menghubungi polis.

Pemeriksaan mendapati kucing itu terperangkap dalam bahagian kipas penyejuk enjin dan anggota bomba dipanggil bagi membantu membebaskannya tanpa kecederaan.

Sebaik berjaya dilepaskan, kucing yang ketakutan itu melarikan diri tetapi berjaya ditangkap dan diserahkan kepada agensi kebajikan haiwan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 5:58 PM