Ramlah Zainal


"SAYA tidak lena tidur malam selama dua hari selepas mengetahui anak kucing kesayangan kami sekeluarga iaitu 'White' terperangkap dalam enjin kereta.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana anak kucing itu berjaya dikeluarkan pada hari ketiga dia terperangkap di situ.

"White' nampak lemah dan fobia tetapi dia tidak cedera selepas berjaya dikeluarkan pada jam 11 pagi semalam," kata penerbit drama dan pelakon terkenal Datuk Rafiena Ezanee Ramli ketika mengulas mengenai anak kucingnya yang terperangkap dalam kereta Ferrari miliknya itu.

Menurut Rafiena, 35, dia juga menyedari kehilangan anak kucingnya yang berusia tiga bulan itu ketika mahu ke pejabat di Shah Alam.

"Pada mulanya, saya terpaksa menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi membantu mengeluarkan anak kucing itu tetapi gagal.

"Justeru, saya terpaksa membawa kereta Ferrari ke bengkel dan akhirnya anak kucing itu berjaya dikeluarkan oleh pekerja bengkel terbabit," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai anak kucingnya itu, kata penerbit drama Syurgaku Tak Sempurna itu, dia sudah membela 'White' sejak dia baru dilahirkan lagi.

"White ada dua beradik. Ibunya, 'Blackey’ juga adalah kucing jalanan yang kami bela dan tinggal di kawasan rumah saya sejak dulu lagi.

"White' memang suka bermain di kawasan tempat letak kereta di kediaman kami. Saya tidak sangka pula dia akan terperangkap dalam enjin kereta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 3:02 PM