Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Desa Skudai, dekat sini, ditutup selama lapan hari sehingga 23 Oktober depan, susulan dipercayai terdapat kes positif Covid-19.

Notis arahan dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri Johor turut memaklumkan mengenai penutupan sekolah itu bermula hari ini dan dipasang pada pagar utama sekolah berkenaan.

Difahamkan, penutupan sekolah dan ujian calitan dilakukan berikutan terdapat seorang murid lelaki Tahun Tiga disahkan positif Covid-19 dan kini dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Tinjauan wartawan bersama jurugambar dari luar pekarangan sekolah mendapati ada berlaku sedikit keriuhan mendengar suara gelagat murid yang menangis ketika menjalani ujian calitan.

Malah, kelihatan seorang daripada mereka cuba melarikan daripada petugas kesihatan yang lengkap berpakaian peralatan perlindungan diri (PPE) sehingga terpaksa didukung untuk dimasukkan ke dalam kenderaan milik penjaga murid itu.

Menurut sumber, murid berkenaan sudah menjalani ujian calitan menangis kerana berikutan mempunyai perasaan trauma apabila melihat petugas seakan-akan doktor, tambahan pula berpakaian tertutup tanpa dapat melihat wajah di sebalik pelindung muka.

Difahamkan, seramai 70 murid yang juga kontak rapat kepada murid lelaki disahkan positif Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bertarikh 15 Oktober (semalam), 12 tengah hari itu, perlu menghadirkan diri untuk menjalani ujian calitan itu pada hari ini.

JOHOR BAHRU. 16 OKTOBER 2020. Sebahagian daripada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Desa Skudai, menjalani ujian calitan (swab test) oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Malaysia (KKM) selepas seorang murid lelaki berusia sembilan tahun disahkan positif COVID-19 di SK Taman Desa Skudai, Johor Bahru. KHIS/ZAIN AHMED
JOHOR BAHRU. 16 OKTOBER 2020. Sebahagian daripada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Desa Skudai, menjalani ujian calitan (swab test) oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Malaysia (KKM) selepas seorang murid lelaki berusia sembilan tahun disahkan positif COVID-19 di SK Taman Desa Skudai, Johor Bahru. KHIS/ZAIN AHMED

Mereka terdiri daripada murid SK Taman Desa Skudai dan Sekolah Agama Tafrijiyyah Taman Universiti, Skudai, dekat sini.

Difahamkan, sementara murid menunggu giliran bagi menjalankan ujian calitan, wakil penjaga kepada 70 murid Tahun Tiga itu akan menerima taklimat dari Pejabat Kesihatan Daerah di sekolah berkenaan.

Semalam, terdapat wakil dari Pejabat Kesihatan Daerah dan Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru hadir ke sekolah berkenaan bagi mengadakan perbincangan dengan pihak sekolah.

Murid sekolah itu dijadualkan akan bersekolah semula pada 25 Oktober depan (Ahad).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang dan Pengarah Pendidikan Johor, Shaharuddin Saari, memaklumkan pihaknya tidak boleh memberi sebarang kenyataan mengenai perkara itu.

Difahamkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dijadualkan melakukan kerja sanitasi di sekitar sekolah itu pada petang ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 2:57 PM