Remaja perempuan berusia 19 tahun direman tiga hari. FOTO Mary Victoria Dass
Remaja perempuan berusia 19 tahun direman tiga hari. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Remaja perempuan berusia 19 tahun direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan memalsukan laporan ujian calitan Covid-19.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Nur Izzaty Muhammad Zahari di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420/468 Kanun Keseksaan.

Semalam, polis menahan remaja perempuan itu di Taman Mutiara Rini, di sini, bagi membantu siasatan memalsukan laporan keputusan ujian calitan Covid-19.

Remaja itu ditahan 1 tengah hari, susulan laporan polis yang diterima daripada pemilik sebuah restoran di Skudai, kelmarin.

Pengadu menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada pekerjanya dengan menghantar sekeping gambar surat mendakwa positif Covid-19.

Ia mengakibatkan majikan lelaki berusia 32 tahun itu menghentikan sementara operasi restoran dan ke klinik bersama 12 pekerjanya untuk membuat ujian calitan.

Keputusan ujian calitan mendapati semua pekerjanya termasuk majikan restoran negatif Covid-19.

Lelaki berkenaan kemudian bertanya kepada individu itu sebelum mengaku menipu majikannya disebabkan tidak mahu datang bekerja kerana merasakan diri tidak sesuai bekerja sebagai pelayan restoran.

Remaja itu baharu sehari diterima bekerja di restoran terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 12:07 PM