Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Banjir di negeri ini semakin buruk apabila empat daerah terjejas dan 1,000 penduduk daripada 274 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan hujan lebat berterusan sejak awal pagi Jumaat lalu.

Banjir yang masuk hari kedua itu turut mengorbankan nyawa seorang wanita, Halijah Majid, 59, dari Kampung Contoh di Pekan Kahang, yang lemas selepas tergelincir ke dalam longkang besar di hadapan rumahnya ketika cuba keluar untuk ke PPS.

Satu laluan utama iaitu Jalan Pengerang-Kota Tinggi turut ditutup sementara kepada semua jenis kenderaan sejak petang tadi berikutan dinaiki air banjir sedalam 0.1 meter.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata, hujan lebat tanpa henti menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dinaiki air banjir dengan beberapa sungai utama turut melimpah.

Katanya, empat daerah terjejas membabitkan Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai dan Kluang.

PENDUDUK Kampung Sepakat berteduh di tepi jalan Skudai dan memasang kemah untuk berteduh selepas rumah mereka dinaiki air sehingga paras bumbung selepas hujan lebat sejak awal pagi di Kampung Sepakat Baru Skudai, Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
PENDUDUK Kampung Sepakat berteduh di tepi jalan Skudai dan memasang kemah untuk berteduh selepas rumah mereka dinaiki air sehingga paras bumbung selepas hujan lebat sejak awal pagi di Kampung Sepakat Baru Skudai, Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed

"Daerah paling teruk terjejas adalah Johor Bahru dengan enam PPS diikuti Kota Tinggi (lima), Kulai (dua)dan Kluang (satu).

"Seramai 690 mangsa banjir di Johor Bahru daripada 189 keluarga ditempatkan di enam PPS yang dibuka di Johor Bahru.

"Ia membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10 Skudai, Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, di Masai, SK (C) Kuo Kuang, di Skudai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)Seri Skudai, SK Bukit Mutiara,di Kangkar Tebrau dan Dewan Raya Kampung Sungai Tiram, di Ulu Tiram.

"Kota Tinggi pula membuka lima PPS untuk menempatkan 188 mangsa banjir daripada 53 keluarga, Kulai pula menempatkan 99 mangsa banjir daripada 25 keluarga di PPS manakala seramai 23 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Kluang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, semua agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) diarahkan terus membuat pemantauan berikutan cuaca buruk diramal berterusan sehingga esok.

"Orang ramai dinasihatkan mematuhi nasihat pihak berkuasa supaya berpindah dan menyelamatkan diri ke kawasan selamat berikutan air banjir kali ini agak tinggi dan pantas membanjiri kawasan penempatan berikutan hujan lebat, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 6:15 PM