Siti Rohana Idris

Tumpat: Kehilangan ibu tersayang ketika diri berada dalam penjara kerana menjalani hukuman atas kesalahan penagihan dadah memberi tamparan hebat buatnya.

Kesan itu semakin teruk dialami Amir, 45 (bukan nama sebenar) selepas berdepan dengan dua kali kegagalan rumah tangga yang menjadikannya nekad untuk melupakan terus kegiatan penagihan dadah.

Amir berkata, dia terjebak dengan dunia penagihan sejak berusia 17 tahun lagi dengan pengambilan ubat batuk sebelum mencuba beberapa dadah jenis lain termasuk pil kuda, ganja, heroin dan morfin.

"Pada awalnya adalah untuk mencuba sahaja dan merasa semua dadah itu disebabkan ingin mengetahui kesan masing-masing namun sampai satu tahap, saya perlu ambil semua sekali disebabkan gian yang terlampau dan inginkan rasa khayal yang lebih.

"Dalam tempoh penagihan selama 28 tahun itu, lapan kali saya dimasukkan ke penjara dan paling terkesan adalah saat ibu meninggal dunia pada 2014 dan saya tidak dapat melihatnya serta memohon ampun buat kali terakhir kerana ditahan di Penjara Pengkalan Chepa ketika itu," katanya ketika ditemui di Rumah Lindungan Kasih, Persatuan Pengasih Malaysia Negeri Kelantan, di Wakaf Bahru, di sini, hari ini.

Amir yang sebelum ini bekerja sebagai pelukis pelan berkata, pembabitannya dalam penagihan dadah benar-benar melenyapkan masa depannya namun bersyukur kerana diberi peluang untuk pulih dengan sokongan penuh daripada keluarga.

AMIR mengakui terjebak dengan penagihan dadah sejak berusia 17 tahun sebelum menjalani proses pemulihan di Rumah Lindungan Kasih, Persatuan Pengasih Malaysia Negeri Kelantan, di Wakaf Bahru. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
AMIR mengakui terjebak dengan penagihan dadah sejak berusia 17 tahun sebelum menjalani proses pemulihan di Rumah Lindungan Kasih, Persatuan Pengasih Malaysia Negeri Kelantan, di Wakaf Bahru. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Dia yang kini sudah lebih dua tahun berhenti menagih berkata, amanat dari arwah ibunya yang menitipkan pesan kepada adik beradik supaya memastikannya berjaya keluar dari pengaruh najis dadah turut mempengaruhi keputusannya untuk berubah.

"Untuk bebas sepenuhnya daripada najis dadah adalah satu perjalanan yang panjang dan cukup sukar tapi apabila kita sudah nekad, semuanya akan dapat ditempuhi dengan syarat segalanya bermula daripada diri sendiri," katanya yang mengakui tenang menetap di rumah perlindungan itu sejak setahun lalu.

Terdahulu, penghuni Rumah Lindungan Kasih itu menerima kunjungan daripada Ketua Polis Balai Wakaf Bharu, Sarjan Major Abd Halim Shafai.

Sementara itu, Pegawai Program Rumah Lindungan Kasih, Afifie Hashim berkata, sejak diwujudkan rumah perlindungan itu lima tahun lalu, lebih 50 bekas penagih yang menjalani proses pemulihan sudah pulih sepenuhnya.

Beliau berkata, proses pemulihan yang dijalankan adalah mengikut modul yang ditetapkan oleh pengurusan Persatuan Pengasih Malaysia dan tempohnya antara enam hingga 18 bulan bergantung kepada tahap penagihan masing-masing.

"Di sini kapasiti penghuni mampu memuatkan seramai 30 orang yang mana dua blok disediakan termasuk sebuah bilik pemantauan iaitu bagi penghuni yang baharu masuk dan masih berada di bawah pengaruh dadah.

"Selain proses pemulihan secara fizikal, pelbagai pengisian dibuat yang membabitkan kerohanian dan keagamaan diterapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 9:27 PM